KERAJAAN negri akan membuat kajian dalam memperketatkan prosedur operasi standard (SOP) penggunaan dan penjualan arak bagi membendung kejadian kemalangan membabitkan pemandu mabuk.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, kajian itu termasuk memperhalusi semula kondisi dan dasar untuk melihat keperluan untuk membekukan sementara lesen penjualan.
"Di peringkat negeri, kita akan membuat kajian dan memperhalusi sama ada membekukan sementara lesen penjualan arak.
"Atau kita hanya perlu mengeluarkan SOP yang lebih ketat dengan dengan kerjasama pihak polis," katanya pada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Negeri di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, hari ini
Beliau berkata demikian sebagai mengulas apabila ditanya pemberita sama ada akan bertindak membekukan lesen jualan susulan pengumuman Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk tidak memperbaharui lesen arak baharu semalam.
Ahmad Faizal berkata, berkaitan isu pemandu yang memandu dalam keadaan di bawah pengaruh alkohol beliau berkata ia perlu dipandang serius dan tidak sewajarnya berlaku.
"Perkara yang paling penting adalah mendidik orang ramai, bahawa apa juga yang kita lakukan mesti dilakukan dengan penuh bertanggungjawab.
"Kita sangat kecewa dengan keadaan sekarang ini, minum arak dengan keadaan tidak bertanggungjawab sehingga meragut nyawa orang lain. Kalau hendak minum... minum secara bertanggungjawab," katanya.
Sebelum ini, NSTP melaporkan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membekukan semua permohonan baharu lesen minuman keras di ibu negara berkuat kuasa serta-merta.
Terdahulu, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan bersedia membekukan pengeluaran lesen penjualan minuman keras, susulan peningkatan jumlah kemalangan membabitkan pemandu mabuk.
Menterinya, Zuraida Kamarudin dilaporkan berkata, ia bagaimanapun tertakluk kepada beberapa perkara yang perlu diselesaikan terlebih dulu dan perbincangan antara kementerian lain yang berkaitan.
No comments:
Post a Comment