Thursday, June 4, 2020

MP buat laporan polis 'ugutan bunuh' terhadap Anwar

MALAYSIAKINI

Malaysiakini

Satu laporan polis dibuat berhubung 'ugutan bunuh' terhadap Presiden PKR Anwar Ibrahim di Facebook.

Anggota Parlimen Batu P Prabakaran membuat laporan polis hari ini, berhubung ugutan bunuh terhadap Presiden PKR Anwar Ibrahim di media sosial.

Laporon itu yang dilihat Malaysiakini merujuk kepada komen seorang pengguna Facebook ketika Anwar membuat siaran langsung semalam.

"Saya telah melihat satu komen live yang telah membuat ugutan jenayah terhadap Anwar, yang mana individu tersebut menyatakan ayat ugutan seperti berikut, 'Kalau Ibrahim ada. Dengan Ibrahim aku bunuh'.

"Saya memohon agar polis membuat siasatan menyeluruh terhadap pemilik akaun tersebut yang telah membuat ugutan jenayah secara terbuka terhadap Anwar," menurut laporan itu.

Laporan tersebut dibuat di Balai Polis Sentul, Kuala Lumpur tengah hari tadi.

Sepanjang perintah kawalan pergerakan (PKP), Anwar sering mengadakan siaran langsung di laman Facebooknya bagi berkongsi pandangan berkenaan isu politik dan semasa.

Dalam sesi semalam, beliau antara lain menggesa kerajaan mempercepat pindaan undang-undang bagi meningkatkan hukuman terhadap pemandu mabuk, serta menyentuh soal pengangguran susulan pandemik Covid-19.


No comments: