PETALING JAYA: Ahli Parlimen Simpang Renggam Maszlee Malik menegaskan beliau masih ahli PPBM dan akan terus menumpahkan taat setianya pada parti itu walaupun beliau merupakan salah seorang daripada 5 pemimpin yang keahliannya terhenti serta-merta.
Maszlee berkata, beliau tekad untuk terus bersama dengan PPBM dan bukan parti lain, yang menurutnya merupakan parti tonggak bagi masyarakat Melayu dan terus berhasrat membawa negara yang terpalit dengan rasuah dan kleptokrasi, ke arah lebih baik.
“Saya masih ahli PPBM. PPBM sentiasa di hati saya dan yakin PPBM dapat membawa aspirasi rakyat, untuk bawa politik bersih, yang dapat menjanjikan nusa dan rakyat masa depan lebih baik, berintegriti, amanah dan bermaruah,” katanya dalam forum disiarkan Sinar Live, hari ini.
Terdahulu, dalam surat ditandatangani Setiausaha Kerja PPBM Muhammad Suhaimi Yahya menyatakan keahlian Maszlee, bersama 4 pemimpin lain iaitu Dr Mahathir Mohamad, Mukhriz Mahathir, Syed Saddiq Abdul Rahman dan Amiruddin Hamzah terhenti serta-merta.
Surat ditandatangani Suhaimi itu menyatakan ahli Parlimen terbabit duduk bersama blok pembangkang dalam sidang Dewan Rakyat sehari pada 18 Mei lalu dan tindakan itu diambil mengikut Fasal 10.2.2 dan 10.2.3 perlembagaan PPBM.
Fasal 10.2.2 perlembagaan PPBM menyatakan pemberhentian dan pemecatan ahli berlaku apabila mereka mengisytiharkan keluar parti, manakala Fasal 10.2.3 pula menyatakan pemberhentian dan pemecatan ahli berlaku apabila mereka menyertai atau menjadi ahli parti politik lain.
Maszlee turut menyarankan supaya perjuangan PPBM yang ditubuhkan demi membela nasib anak bangsa dan membawa wadah politik baru buat bangsa Melayu tidak terpesong seperti hari ini apabila pemimpin yang ditolak rakyat pada pilihan raya umum lalu kembali diberikan kuasa.
“Apabila PPBM menerima orang yang sudah dihukum rakyat kerana salah guna kuasa, budaya politik kotor, saya rasa pada waktu itu ia merupakan usaha untuk sasarkan perjuangan PPBM dari prinsipnya. Pada saya, sebagai ahli PPBM, saya bertanggungjawab untuk bawa kembali parti ke landasan.
“Kita tidak boleh terima tokoh yang dihumban rakyat. Mereka ini cemarkan negara, nama Melayu dan Islam. Kemudian kita ambil untuk duduk sekali dan berikan kuasa.
“Kita akan dilihat sebagai pengkhianat, kita akan dilihat bukan sahaja khianati rakyat tetapi perjuangan parti,” katanya.
Ketika ditanya, siapakah Muhyiddin Yassin yang merupakan presiden PPBM dan kini menjawat tugas sebagai perdana menteri di matanya, Maszlee berkata Muhyiddin masih individu yang memberikan nilai dan inspirasi untuknya menyertai kancah politik negara.
“Dr Mahathir Mohamad, saya amat terinspirasi dengan ucapan Mahathir sejak tahun 2016, saya berpeluang mendengar dan menjadi moderator untuk progamnya. Manakala, Muhyiddin yang dahulunya mendendangkan perlunya untuk bawa Malaysia baru.
“Saya tidak akan lupakan kedua-duanya sebagai inspirasi politik. Bagi saya, saya sertai PPBM atas prinsip parti berkenaan dan atas pilihan yang jelas. PPBM tetap dihati,” katanya.
No comments:
Post a Comment