Monday, June 1, 2020

Mahkamah Tinggi tetapkan 30 Julai dengar saman berkait sidang sehari Parlimen

Peguam R Kengadharan dan aktivis sosial D Arumugam mencabar kesahan sidang
sehari Dewan Rakyat pada 18 Mei lalu.

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi menetapkan 30 Julai ini untuk mendengar saman yang difailkan 2 individu untuk mencabar kesahan sidang Parlimen pada 18 Mei lalu.

Peguam T Gunaseelan, yang mewakili seorang lagi peguam R Kengadharan dan aktivis sosial D Arumugam, berkata tarikh itu ditetapkan susulan pengurusan kes hari ini di depan Hakim Nordin Hassan.

Peguam kanan persekutuan, Mohammad Sallehuddin Md Ali mewakili Jabatan Peguam Negara.

Gunaseelan berkata, beliau sudah menyerahkan kepada mahkamah kertas mengenai defendan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin dan Speaker Dewan Rakyat, Mohamad Ariff Md Yusoff pada 21 Mei lalu.

“Kami memaklumkan hakim yang kertas itu diserahkan melalui pos berdaftar memandangkan peraturan mahkamah membenarkannya,” katanya kepada wartawan.

Nordin turut memerintahkan Muhyiddin dan Ariff memfailkan afidavit mereka sebagai balasan kepada plaintif menjelang 22 Jun ini.

Kengadharan dan Arumugam dibenar memfailkan sebarang afidavit lanjut menjelang 6 Julai.

Nordin turut mengarahkan pihak terbabit memfailkan penghujahan bertulis mereka pada 20 Julai sebelum mendengar penghujahan lisan pada 30 Julai.

Sallehuddin memberitahu hakim yang Jabatan Peguam Negara tidak dapat mengesahkan sama ada mereka akan mewakili Muhyiddin dan Ariff, tetapi tiada bantahan terhadap tarikh pendengaran itu.

Pada 18 Mei lalu, Kengadharan dan Arumugam memfailkan saman pemula dan memohon perisytiharan yang notis dikeluarkan kepada ahli Parlimen pada 13 Mei lalu bertentangan Perlembagaan Persekutuan dan peraturan mesyuarat Dewan Rakyat.

Mereka berkata, orang ramai tahu pembangkang berhasrat membentangkan usul tidak percaya terhadap perdana menteri, dan sidang sehari itu tidak dapat memenuhi syarat Perlembagaan untuk membincangkan perkara penting selain ucapan Agong.

Speaker Dewan Rakyat menerima usul undi tidak percaya dikemukakan bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad pada 8 Mei lalu.


No comments: