Wednesday, June 24, 2020

Kumpulan Nigeria tuntut keadilan untuk wanita dakwa diserang seksual

Seorang wanita muda dari Nigeria mendakwa dipukul dan dirogol berkumpulan
oleh 4 lelaki. (Gambar AFP)

PETALING JAYA: Seorang wanita muda dari Nigeria yang mendakwa dirogol 4 lelaki, kini dikatakan sedang menunggu pertuduhan kerana tidak mempunyai visa sah.

Ahmed Yomi, jurucakap diaspora Nigeria di Malaysia yang menuntut keadilan untuknya, berkata wanita bernama Nicole itu dalam laporan polisnya memaklumkan beliau menemui seorang lelaki yang berminat dengannya di Changkat, Kuala Lumpur.

Beliau kemudiannya pergi dengan lelaki itu ke sebuah hotel.

Nicole mendakwa lelaki itu meminta beberapa rakannya menunggu berhampiran hotel itu. Beliau mendakwa dipukul serta dirogol berkumpulan.

Ahmed berkata, kumpulan lelaki itu mengambil gambar dan video mangsa bogel serta mengugut akan menyiarkannya jika beliau mendedahkan kejadian itu.

Katanya, Nicole dijadikan tebusan di sebuah pangsapuri, tetapi seorang lagi wanita di sana melepaskannya.

“Beliau segera memaklumkan pegawal keselamatan di pangsapuri itu dan meminta mereka menghubungi polis. Mereka membawanya ke balai polis di mana beliau membuat laporan.”

Polis kemudiannya menahan Nicole kerana tidak mempunyai visa sah. Kumpulan lelaki itu berada dalam tahanan polis dan dijangka didakwa di bawah Seksyen 334 Kanun Keseksaan kerana sengaja menyebabkan cedera.

Bagaimanapun, peguam wanita itu sedang berusaha supaya kumpulan lelaki itu didakwa di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol.

FMT sudah menulis kepada Suruhanjaya Tinggi Nigeria untuk mendapatkan maklum balas. Satu petisyen atas talian yang menuntut keadilan untuk wanita itu mendapat hampir 6,000 tandatangan.

No comments: