Wednesday, June 24, 2020

Hilang ketika ke kebun durian

Adnan Ibrahim

Asyraf Nur (kiri) ketika mendapatkan maklumat daripada Ming Chai (dua dari kiri) berkaitan kehilangan Ming Hock di Kampung Seri Kenangan, Simpang Renggam dekat Kluang. Foto Ihsan JBPM

LELAKI dilaporkan hilang dipercayai selepas keluar ke kebun duriannya di Kampung Seri Kenangan, Simpang Renggam dekat Kluang kira-kira 3 pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Kluang Asisten Komisioner Mohd Abduh Ismail berkata, Teo Ming Hock berusia 50 tahun dilaporkan keluar rumah menuju ke kebun durian miliknya itu kerana bimbang berikutan banyak kejadian kecurian buah itu.

Menurutnya, kejadian dilaporkan oleh abang mangsa, Teo Ming Chai, 50-an, di Balai Polis Simpang Renggam pada 2.45 petang semalam sebelum satu pasukan penyiasat diketuai Sarjan Yazid Maazin di hantar ke lokasi kejadian.

"Hasil siasatan mendapati tiada unsur jenayah berlaku tetapi lelaki berkenaan mempunyai masalah kemurungan dan mempunyai sejarah rawatan berkaitannya.

"Berikutan itu, satu pasukan mencari dan menyelamat (SAR) mangsa ditubuhkan bersama anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon 3 bermula hari ini," katanya melalui kenyataan hari ini.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Renggam Penolong Penguasa Bomba Asyraf Nur Mohd Yusoff berkata, seramai enam anggota pasukannya sudah ke lokasi kejadian untuk membuat tinjauan serta pemantauan sejak malam tadi.

Menurutnya, pasukan tambahan daripada JBPM Zon 3 akan memulakan operasi mencari dan menyelamat di kawasan itu.

"Pasukan SAR sudah cuba menghubungi nombor telefon mangsa tetapi gagal dan usaha selanjutnya sedang dijalankan," katanya.

No comments: