Walaupun tarikh peralihan kuasa mungkin hanya akan diputuskan dalam mesyuarat Majlis Presiden PH pada 21 Februari ini, tetapi adalah jelas ramai yang mahu ia tidak ditangguh-tangguhkan lagi.
Dalam beberapa siri program Bual Bicara Peralihan Kuasa yang sempat saya sertai dan hadiri di beberapa negeri, sambil itu dapat pula berbual-bual dengan orangramai, rata-rata berharap penyerahan jawatan Perdana Menteri daripada Tun Mahathir Mohamad kepada Anwar Ibrahim dapat dilakukan pada Mei ini.
Mereka boleh dikata menolak sama sekali kiranya peralihan kuasa itu dianjakkan kepada November iaitu selepas Sidang Apec sebagaimana yang diminta oleh Tun Mahathir.
Alasan-alasan yang dapat disimpulkan mengapa perlunya peralihan kuasa dilakukan pada Mei dan bukannya November ialah:-
Pertama, kerana ia merupakan janji Tun Mahathir sendiri mahu memegang jawatan Perdana Menteri selama dua tahun saja.
Menunaikan janji itu dianggap bukan saja suatu kewajipan dan memberikan Tun Mahathir suatu pahala, malah mengelakkkannya terjerumus kepada dosa mungkir janji.
Dengan yang demikian, tiada keperluan sama sekali untuk melewatkannya daripada tempoh asal yang dijanjikan oleh Tun Mahathir sendiri.
Kedua, Tun Mahathir hanyalah Perdana Menteri bagi tempoh sementara sehingga Anwar dibebaskan daripada penjara, diberi pengampunan oleh Yang Dipertuan Agong dan boleh menjadi Ahli Parlimen semula yang merupakan syarat wajib untuk beliau memegang jawatan Perdana Menteri.
Oleh itu, tempoh dua tahun adalah munasabah dengan status kesementaraan itu kerana baki tiga tahun selebihnya adalah giliran Anwar pula mengemudi negara sebagai Perdana Menteri yang sebenar bagi PH.
Dalam hal ini, tidak kurang yang berpendapat, proses peralihan kuasa juga sepatutnya dipercepatkan lagi kerana semua syarat untuk Anwar menjadi pengganti sudah dapat dipenuhi lebih awal daripada yang dijangka.
Ketiga, menunggu Sidang Apec untuk menyerahkan kuasa kepada Anwar dilihat tidak lebih hanya untuk memenuhi ego Tun Mahathir dan bukannya atas kepentingan masa depan negara.
Oleh kerana Malaysia sudah pernah menjadi tuan rumah Sidang Apec ketika Tun Mahathir menjadi Perdana Menteri pada tahun 1998 dahulu, kini adalah waktunya untuk negara menunjukkan reformasi telah berlaku dengan menonjolkan Perdana Menteri baru setelah 20 tahun berlalu.
Di mana reformasinya Malaysia kalau Perdana Menteri sama yang kekal dengan ciri-ciri diktatornya terus ditonjolkan dalam Sidang Apec 1998 dan 2020?
Keempat, oleh kerana pembaharuan tidak berlaku dan ekonomi tidak berkembang sejak Tun Mahathir menjadi Perdana Menteri bermula Mei 2018 lalu, malah laporan Bank Negara baru-baru ini menunjukkan kemerosotan, apakah memanjangkan lagi tempoh peralihan kuasa selama enam bulan sehingga November mampu menzahirkan sesuatu yang positif untuk negara?
Apakah dengan Tun Mahathir terus menjadi Perdana Menteri sehingga November berbanding Mei yang sepatutnya, dapat melonjakkan lgi ekonomi, menaikkan nilai ringgit dan membuatkan pelaburan asing datang mencurah-curah?
Jika jawapannya tidak atau tiada kepastian, untuk apa dibiarkan Tun Mahathir kekal berkuasa sehingga November?
Bukankah dalam keadaan negara yang suram ini dan rata-rata golongan peniaga mengeluh terhadap kerajaan, tampuk ketua kerajaan sepatutnya lebih cepat digantikan?
Untuk itu, buat perhatian semua anggota mesyuarat Majlis Presiden PH yang akan bersidang pada 21 Februari ini – buatlah keputusan berkenaan peralihan kuasa nanti berasaskan logik untuk kebaikan negara dan bersandarkan keinginan sebenar rakyat, bukan untuk memenuhi ego serta keinginan peribadi Tun Mahathir semata-mata
No comments:
Post a Comment