Turut didakwa hina agama Islam, 17 Mac tarikh perbicaraan semula
JOHOR BAHRU
– Mahkamah Majistret di sini, hari ini, memerintahkan seorang lelaki
yang videonya tular kerana dilihat memijak al-Quran baru-baru ini,
supaya dihantar ke Hospital Permai, di sini, untuk menjalani pemeriksaan
kesihatan mental.
Perintah itu dikeluarkan Majistret
Nurasidah A. Rahman selepas membenarkan permohonan daripada Timbalan
Pendakwa Raya, Nurhayati Muhammad Fathullah.
Perintah terhadap Mohd Zulkifli Ali, 33, itu dibuat mengikut Seksyen 342 Kanun Prosedur Jenayah.
Ia bagi membolehkan pihak pendakwaan dan mahkamah mengetahui status sebenar kesihatan mental Mohd Zulkifli.
Berdasarkan pertuduhan yang dibuat hari
ini, Mohd Zulkifli didakwa telah mencemarkan al-Quran dengan memijaknya
dengan niat untuk menghina agama Islam.
Tertuduh juga didakwa telah mengeluarkan
kata-kata penghinaan yang didengari oleh seorang individu dengan niat
yang disengajakan untuk melukakan perasaan keagamaannya.
Kedua-dua perbuatan itu didakwa dilakukan
di sebuah bilik hotel, di Jalan Abiad, Taman Tebrau Jaya, di sini pada
jam 8.40 pagi, 13 Februari lepas.
Bagi kedua-dua pertuduhan itu, Mohd
Zulkifli didakwa mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan yang
memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau
kedua-duanya dan Seksyen 298 kanun sama, yang membawa hukuman penjara
sehingga setahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Bagaimanapun, semasa prosiding pertuduhan
dibacakan terhadapnya, tertuduh yang tidak diwakili peguam dan
merupakan seorang penganggur, tidak membuat sebarang pengakuan serta
hanya mengangguk faham.
Mahkamah menetapkan 17 Mac untuk tertuduh dipanggil semula bagi pertuduhan itu. -Bernama
No comments:
Post a Comment