Gesa bubar Jawatankuasa Penasihat Pendidikan Masyarakat India
BANGI– Cadangan untuk menubuhkan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK)
Tamil hanya akan merosakkan lagi perpaduan nasional yang menjadi agenda
besar negara, kata Ketua Wanita Berjasa, Azizah Che Awang.
Beliau berkata, sepatutnya hanya satu
sekolah aliran sahaja yang perlu dilaksanakan di Malaysia, bagi mencapai
aspirasi perpaduan negara.
“Tapi sekarang Kementerian Pendidikan
mahu bina pula SMJK Tamil. Tidak cukupkah dengan SMK yang ada? SMK telah
menyediakan silibus pendidikan yang menggunakan bahasa kebangsaan
sebagai bahasa pengantar.
“Tidakkah itu penubuhan SMJK Tamil ini
akan menggagalkan lagi hasrat nasional iaitu perpaduan antara kaum?”
soalnya dalam satu kenyataan kepada Ismaweb.
Terdahulu, Nie Ching yang juga Timbalan
Menteri Pendidikan memberitahu, kementeriannya sedang mengkaji keperluan
untuk menubuhkan SMKJ Tamil bagi meningkatkan tahap pendidikan
masyarakat India.
Katanya, kementerian itu telah menubuhkan Jawatankuasa Penasihat Pendidikan Masyarakat India bagi meneliti lanjut perkara itu.
Beliau menjawab soalan Senator Datuk T.
Mohan yang ingin tahu status pembinaan SMJK Tamil pertama di Malaysia,
yang dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan Persekutuan seperti mana yang
terkandung dalam Janji ke-lima: Iltizam khusus Pakatan Harapan untuk
masyarakat India.
Menyelar cadangan itu, Azizah yakin
penambahan SMJK Tamil kelak akan menyebabkan sekolah vernakular terus
dikekalkan, dan dibimbangi akan meminggirkan bahasa Melayu sebagai
bahasa kebangsaan.
“Justeru, Berjasa meminta KPM menarik
balik atau bubarkan sahaja penubuhan Jawatankuasa Penasihat SMJKT yang
sedang dilaksanakan ketika ini,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan