Pelajar alami simptom sakit perut selepas makan hidangan luar
BALIK PULAU– Seramai 55
pelajar semester satu Politeknik Balik Pulau di sini, mengalami
keracunan makanan, disyaki berpunca daripada hidangan makanan luar dalam
satu program taklimat mengundi petang semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Desa,
Kesihatan, Pertanian dan Industri Asas Tani Pulau Pinang, Dr Afif
Bahardin berkata setakat 10 malam tadi, seramai 55 pelajar telah
mendapatkan rawatan di Hospital Balik Pulau selepas mengalami simptom
sakit perut.
“Setakat ini, semua 55 pelajar Politeknik
telah diberi rawatan pesakit luar dan telah dibenarkan pulang namun
dipantau oleh pihak hospital,” katanya ketika dihubungi Bernama malam
tadi.
Beliau berkata, ibu bapa tidak perlu
terlalu risau dengan keadaan anak kerana perkara itu di bawah pengawasan
pihak hospital dan juga pengurusan politeknik berkenaan.
Dr Afif berkata, pihaknya telah
mengarahkan siasatan terhadap punca berlaku keracunan makanan dan
tindakan seterusnya akan diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab.
“Saya telah mengarahkan siasatan untuk
mengenal pasti punca dan keputusan siasatan akan diumumkan selepas
selesainya siasatan,” katanya.
Difahamkan sebelum itu semua pelajar
berkenaan menghadiri program taklimat mengundi yang dianjurkan
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di politeknik itu yang bermula jam 9.00
pagi dan berakhir jam 12 tengah hari.
Seramai 207 pelajar semester satu
menghadiri program berkenaan dan mereka dihidangkan makanan nasi ayam
merah, telur bersama sayur kubis jam 11 pagi sebagai makananan tengah
hari.
Bagaimanapun, puluhan pelajar mengadu
sakit perut kira-kira jam 4 petang dan mereka dibawa kenderaan jabatan
politeknik dengan ditemani pensyarah untuk mendapatkan rawatan di
Hospital Balik Pulau secara berperingkat.
Tinjauan Bernama di Hospital Balik Pulau
mendapati semua pelajar politeknik itu yang menerima rawatan, telah
dibenarkan balik. – Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan