Sabtu, 27 Julai 2019

Firaun, Qarun bertopeng PH

Dr Muhaimin Sulam

 

   
Kutub Qabil yang dibincangkan dalam artikel sebelum ini berlawanan dengan kutub Habil. Kedua-dua istilah ini dikutip daripada karya Dr Ali Shariati.

Kutub Habil mewakili kelas yang dikuasai, yang ditindas atau kelas rakyat bawahan.

Inti falsafah sosial Shariati adalah polarisasi masyarakat kepada dua kutub dialektika ini. Polarisasi masyarakat sebegini wujud secara tekal sepanjang zaman.

Sesuatu pembangunan dan kemajuan pada hakikatnya lebih dinikmati satu kelompok yang dominan dalam masyarakat. Hal ini kerana pembangunan dan kemajuan ekonomi negara yang baik tidak semestinya menggambarkan keadaan yang sama berlaku dalam aspek pembangunan dan kemajuan ekonomi rakyat.

Ia lebih kepada pembangunan satu kelompok sahaja, iaitu kutub Qabil. Kutub Habil - seperti rakyat bawahan - kekal hanya menjadi saksi pembangunan yang dicanang-canang itu.

Sudut pandang ini dirakamkan Shariati melalui pentafsiran terhadap binaan hebat seperti piramid di Mesir dan monumen-monuman hebat lain.

Di sebalik kekaguman dan keunikan seninya, kehebatan binaan itu sebenarnya berdiri hasil daripada penindasan penguasa terhadap rakyat bawahan.

Bagi Shariati, piramid adalah simbol penderitaan dan pemerasan terhadap rakyat yang lemah. Dalam konteks semasa, pencapaian pembangunan, kemajuan dan juga kemenangan diraih hasil atas keringat dan darah rakyat bawahan.

Bertempur dalam senyap
 
Kemenangan PH dalam pilihan raya umum (PRU) lalu adalah pencapaian hasil pengorbanan rakyat bawahan yang hanya mengikut arus selepas ia berjaya diperdanakan.

Hakikat ini perlu diakui ketika kita juga tidak menafikan sumbangan daripada para pimpinan PH yang ikhlas berjuang. Ia adalah gabungan kekuatan rakyat, penyokong dan pimpinan PH.

Namun dalam kebulatan pakatan tersebut, unsur-unsur oportunis turut bersekali. Itu adalah lumrah kehidupan.

Gelombang kebangkitan rakyat pada saat-saat akhir dirampas sedikit demi sedikit oleh kelompok yang mewakili kutub Qabil. Mungkin ia tidak sepenuhnya dirampas, tetapi cubaan itu memang ada. Tidak boleh dinafikan.

Memang pada suatu ketika, perjuangan rakyat bersifat murni. Ia sesuci embun pagi di tengah belantara. Namun setelah sampai ke podium kemenangan, tangan-tangan Qabil sedikit demi sedikit mengapai.

Maka berlakukan pertempuran dalaman yang senyap. Itulah pertarungan di antara kutub Habil - iaitu kelompok yang ditindas dan dikuasai - dengan kutub Qabil - iaitu golongan penguasa yang hampir kehilangan kuasa.

Sejarah adalah cerita tentang pergulatan manusia. Shariati menggunakan persejarahan manusia - sejak kisah Nabi Adam AS, kemudian berlarutan ke zaman Nabi Ibrahim, hingga ke zaman hidupnya - untuk membina kerangka konseptualnya.

Begitu juga dengan kemenangan. Sifat kemenangan adalah sama dengan sifat pembangunan dan kemajuan. Ia suatu yang sedap dan indah dicerap hanya oleh pancaindera.

Tipu muslihat musuh
 
Kemenangan PH tidak harus dilihat sebagai kejayaan mutlak kepada rakyat bawahan. Ia belum tentu membawa maksud kemenangan yang memberi manfaat kepada kutub Habil - iaitu rakyat bawahan tadi.

Pun begitu ia adalah perubahan yang harus dialu-alukan sambil kita kekal bersikap berhati-hati dan terus berjuang menegakkan keadilan.

Sesuatu kemenangan itu tidak boleh menyebabkan segala senjata dan kekuatan disimpan.

Jangan terlalu naif semasa melihat kemenangan itu apabila ia disambut hangat oleh ramai orang. Ya, berbondong-bondong orang keluar dari pelbagai pelosok untuk merayakannya. Namun sekali lagi diingatkan: Jangan terpesona.

Shariati memberi amaran: "Saudara tidak boleh menjadi terlalu naif dengan berfikir bahawa peperangan telah selesai setelah syaitan dikalahkan pada hari ke-10 di Mina, lalu meletakkan senjata saudara, memakai semula pakaian biasa, memakai bau-bauan dan bersolek, merayakan kemenangan saudara walaupun bahaya mungkin datang.

Di sana sentiasa ada bahaya daripada musuh-musuh yang pernah saudara tewaskan pada suatu ketika dahulu."

Peringatan itu dibuat kerana sebahagian kegembiraan yang terpancar dari wajah rakyat sebenarnya adalah tipu muslihat musuh yang tidak jemu mencari peluang membalas dendam atas kekalahan kelompok mereka.
Ali Shariati
Musuh berlindung di sebalik wajah perubahan. Mereka boleh menukar warna perjuangan dengan mudah. Ia semudah menukar sepersalinan pakaian. Ia dibuat untuk memastikan pengekalan status mereka dalam kutub Qabil.

Dalam konteks masyarakat, kutub Qabil berkuasa melalui tiga paksi jahat iaitu Firaun (penindas), Qarun (kapitalis) dan Bal`am Ba`ura (pendeta). Tiga watak simbolik itulah ejen mustakbirin yang perlu direjam sepanjang jalan kehidupan manusia untuk kita boleh hidup sejahtera.

Tiga kuasa jahat tadi akan selalu memiliki tempat dalam mana-mana sejarah pembangunan, kemajuan dan kemenangan diraih suatu kelompok.

Firaun adalah watak sang penguasa, ahli politik yang licik, zalim dan menggunakan apa jua cara untuk terus kekal berkuasa. Segala jentera kerajaan akan dipaksikan pada kekuasaanya.

Baik yang dimanipulasi
 
Perundangan, pentadbiran dan pengadilan - semuanya dikuasai penuh oleh Firaun atau kelompoknya.
Qarun pula adalah watak kapitalis tamak yang percaya bahawa dalam hidup ini, ekonomi adalah segala-segalanya.

Qarun pada mana-mana zaman akan terus mengaut kekayaan dan kekal berada dalam sistem yang dicipta Qarun-Qarun terdahulu sebelum mereka.

Qarun-Qarun ini membentuk pakatan dengan ahli politik, birokrat dan segala ejen yang sealiran dengan mereka dan berada dalam struktur kerajaan.

Kutub Qabil tidak pernah pupus. Jika kalah pun, kekalahan itu hanyalah seketika. Ketika yang sama, kutub Habil sentiasa bersikap sabar, berserah dan bertolak ansur yang tidak kena pada tempatnya.

Watak Habil dan Qabil diceritakan Allah dalam Surah al-Maidah, ayat 27 yang bermaksud:

"Sesungguhnya aku akan membunuhmu!. (Habil) menjawab: Sesungguhnya Allah menerima (korban) daripada orang-orang yang bertakwa."




Jawaban Habil adalah benar tetapi di dalam politik sebenar, watak-watak seperti Qabil akan tidak teragak-agak membunuh Habil yang merendah diri.

Qabil seorang yang tegar memenuhi kedengkiannya terhadap Habil yang sungguh merendah diri.

Bahkan Habil berkata - masih dalam surah al-Maidah, melalui ayat ke-28 - yang bermaksud: "Demi sesungguhnya, jika engkau hulurkan tanganmu kepadaku untuk membunuhku, aku tidak sekali-kali akan menghulurkan tanganku kepadamu untuk membunuhmu. Kerana sesungguhnya aku takut kepada Allah, Tuhan Yang mentadbirkan sekalian alam."

Kemuliaan sifat Habil inilah yang disalahgunakan dan diambil kesempatan oleh Qabil. Akhirnya Qabil membunuh Habil.

Pengorbanan yang dilakukan rakyat, penyokong dan pimpinan dalam PH sepanjang jalan perjuangan mereka tidak semua dihargai. Memang pengorbanan dalam perjuangan tidak pernah menuntut balasan.

Namun apabila tumbuh rasa dengki, cemburu sesama sendiri, bibit-bibit yang menghilangkan makna kemenangan itupun wujud bersama. Pada saat itulah, kutub Qabil mendabik dada.

Watak Bal`am mewakili golongan cendekiawan yang melacurkan ilmunya demi mendapat habuan dunia. Dia sanggup menggunakan ilmu yang ada bagi mengekalkan kedudukannya dan mengekalkan Firaunnya.

Persoalannya: Siapa Firaun, Qarun dan Bal`am yang memakai topeng PH?


*DR MUHAIMIN SULAM seorang aktivis politik, pensyarah universiti dan penulis buku serta esei.

Tiada ulasan: