Sabtu, 27 Julai 2019

Asyraf: BN perlu belajar dari pengalaman PAS jadi pembangkang


   

Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki hari ini berkata partinya akan terus menghargai MIC sebagai sekutu setia dalam BN walaupun kini sedang menjalinkan persahabatan baru dengan PAS.

Bercakap pada konvensyen tahunan MIC di Kuala Lumpur hari ini, Asyraf berkata BN yang pertama kali menjadi pembangkang boleh belajar daripada pengalaman PAS selama enam dekad.

"Apa rasa bila kita jadi pembangkang, mungkin sahabat-sahabat kita daripada PAS dia berpengalaman dan berpuluh tahun jadi pembangkang, kita kena belajar daripada mereka.

"Kita jangan bongkak jangan sombong, kita kena belajar daripada PAS, sebab orang kita ini bila jadi pembangkang, cepat goyah, bila jadi pembangkang tak sampai beberapa bulan mereka terjun daripada bahtera.

"Kapal kita ini masih belum karam, bahtera kita masih kuat, walaupun layarnya koyak, pendayungnya ada yang patah, sana sini bocor, tapi ia tidak akan karam walau dilanda ombak dan badai.

"Bahtera BN tetap akan kita pertahankan, kerana kita tiada pilihan," kata Ashraf.

Tambah Asyraf, BN mesti kembali menjadi kerajaan persekutuan kerana menurutnya pemimpin PH, gagal mengekalkan keharmonian negara.
BN, yang telah memegang kuasa persekutuan sejak kemerdekaan Malaysia, kalah kepada pakatan PH pada pilihan raya umum 9 Mei tahun lalu.

Susulan itu, beberapa parti komponen BN mengumumkan keluar mereka dari gabungan itu.

BN Sarawak dibubarkan selepas PBB, SUPP, PRS dan PDP mengumumkan keluar gabungan itu dan membentuk Gabungan Parti Sarawak pada 12 Jun lalu.

Sementara di Sabah, PBRS, Upko, dan LDP juga meninggalkan BN.

Jelas Asyraf, dengan mengambil kira cabaran baru yang dibawa oleh perkongsian Umno dengan PAS, semua pihak termasuk MIC perlu bersedia untuk tidak bersetuju dalam beberapa isu tertentu.

"Itu saya cakap dengan (Ketua Pemuda MIC) R Thinalan, mari kita berbincang dengan hati terbuka.

"Kita mesti bersedia bincang perkara sensitif, tak ada masalah. Kita mesti bersedia bersetuju untuk tidak bersetuju kerana inilah asas kekuatan negara," katanya.

Ketika ditemui, Ketua Pemuda PAS, Khairil Nizam Khirudin pula berkata, matlamat keseluruhan adalah mengukuhkan blok pembangkang, termasuk memupuk hubungan dengan komponen BN yang lain.

"Itulah sebabnya kami berada di sini hari ini untuk menunjukkan solidariti kami dengan rakan-rakan dari MIC dan menunjukkan ini adalah wajah Malaysia yang baru yang kita mahukan.

"Kita mungkin mempunyai ideologi politik yang berbeza tetapi kita semua rakyat Malaysia dan kita boleh bersatu atas dasar keadilan dan mencari keamanan," katanya kepada Malaysiakini.

Terdahulu, pemimpin-pemimpin MIC cuba meyakinkan ahlinya bahawa parti mereka tidak akan dipinggirkan apabila Umno menjalin kerjasama rasmi dengan PAS.

Pemimpin MIC juga menggesa anggotanya untuk meraikan kerjasama yang dipromosikan sebagai cara untuk BN kembali berkuasa dan mengingatkan bahawa PAS bukan parti radikal.


Tiada ulasan: