Sabtu, 27 Julai 2019

Pemuda Umno: Bila nak dakwa Paul Yong di mahkamah?

MALAYSIAKINI

   

Pemuda Umno mempersoalkan mengapa Exco Perak Paul Yong belum didakwa di mahkamah berikutan dakwaan merogol pembantu rumahnya.

Ketuanya Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata polis sudah menyerahkan kertas siasatan kepada Pejabat Peguam Negara pada 23 Julai lalu.

Beliau turut membandingkan kes tersebut dengan dakwaan cabul membabitkan Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di Melaka, Ma'on @ Yunus Abu Samah yang sudah pun dibawa ke mahkamah.

"Kami hairan mengapa Paul Yong belum dihadapkan ke mahkamah sedangkan kes ini berlaku pada 7 Julai, lebih awal daripada kes cabul Ma'on yang berlaku pada 15 Julai.

"Jika Ma'on, yang kesnya lebih ringan dan lewat, tetapi direman empat hari berbanding Paul Yong yang tidak direman, telah didakwa beberapa hari lalu, mengapa pula Paul Yong masih belum didakwa?

"Apakah kerana dia seorang pemimpin DAP dan exco kerajaan negeri, manakala Ma'on rakyat biasa dan hanya pengerusi MPKK?" soalnya dalam kenyataan.
Paul Yong
Yong yang juga adun Tronoh tampil secara suka rela di balai polis Jepalang pada 9 Julai untuk membantu siasatan kes tersebut dan ditahan seketika oleh polis. Dia kemudian dibebaskan dengan jaminan polis.

Dia menafikan tuduhan tersebut dan berkata "terkejut dan keliru" dengannya.

Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu berkata Yong akan menjalankan tugas seperti biasa tetapi beberapa perkara yang memerlukannya membuat keputusan selaku exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baru, ditangguh dahulu.

Dalam pada itu, Asyraf berkata kes tersebut perlu disegerakan kerana mendapat perhatian negara luar terutama Indonesia - negara asal pembantu rumah itu - yang antara lain berharap kerajaan mengambil langkah untuk memastikan pekerja migran dari republik itu dilindungi dengan sewajarnya.

"Justeru pemuda Umno menggesa Peguam Negara Tommy Thomas agar tidak melengahkan pendakwaan kes ini bagi memastikan imej perundangan negara terjaga," katanya lagi.


Tiada ulasan: