Persatuan Pengusaha Restoran India Malaysia (Primas) mahu meminta untuk mengadakan satu perjumpaan dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi membincangkan piawai prosedur operasi (SOP) dalam pengambilan pekerja asing ke industri restoran yang disifatkan masih mengelirukan.
Presiden Primas, T Muthusamy berkata, sektor restoran terpaksa mengharungi tiga kementerian bagi proses pengambilan pekerja asing untuk bekerja di restoran sebagai tukang masak atau kakitangan restoran.
"Kami mengalu-alukan keputusan kerajaan kembali memperkenalkan semula sistem pekerja gantian bagi restoran selepas kerajaan terdahulu membeku mengambil pekerja asing.
"Namun, kami masih menghadapi kesukaran untuk mengambil pekerja kerana SOP masih mengelirukan dan tidak jelas," katanya kepada pemberita Mesyuarat Agung Tahunan Primas ke-19 di Brickfields, Kuala Lumpur, semalam.
Pendekatan itu diambil selepas menerima aduan supaya pembekuan pekerja asing yang dibuat pada 2009 dalam sektor yang disebutkan itu dikembalikan.
Sementara itu, Muthusamy berkata Primas mempunyai lebih 1,160 pengusaha restoran berdaftar seluruh Malaysia yang menghadapi pelbagai rintangan untuk mengambil pekerja asing kerana ia melibatkan tiga kementerian iaitu Kementerian Sumber Manusia (KSM), dan KPDNHEP.
"Kalau dulu, sekiranya seorang pekerja asing balik ke negara asal, kami hanya perlu membawa memo daftar keluar (COM) serta pasport dia ke Jabatan Imigrisen untuk mengambil pekerja gantian yang baru.
"Sekarang, kami dapatkan pengesahan Imigresen dan KSM sebelum membuat permohonan kepada KDN.
"Di KDN ada agensi sehenti yang dikendalikan oleh KPDNHEP. Kebanyakan masa, permohonan ditolak kerana kementerian itu menggunakan SOP lain iaitu sistem kuota," katanya.
"Syarat baru 1:3 ini tidak dapat diamalkan kerana isu-isu lain, (tapi) pengarah KSM berjanji untuk membawa masalah ini ke perhatian kementerian," katanya.
Malaysiakini sudah menghubungi KDN dan KPDNHEP untuk mendapatkan ulasan mengenai syarat yang dikatakan.
Sementara itu, Muthusmany mengalu-alukan kategori kakitangan restoran diperkenalkan untuk pekerja asing namun menegaskan bahawa isu utama yang perlu diselesaikan adalah SOP.
"Kami mengalu-alukan kategori baru ini. Namun, ia tidak mencukupi. Isu utama di sini adalah SOP yang mengelirukan.
"Jadi, Primas meminta KDN supaya segera mengadakan satu perjumpaan dengan semua NGO-NGO dari industri restoran agar menyelesaikan kekeliruan ini," tambahnya.
Mei lalu, Kementerian Sumber Manusia menafikan berlaku pembekuan pengambilan pekerja asing ke Malaysia.
Menterinya, M Kulasegara berkata, sebaliknya ia merupakan permohonan yang ditolak atas faktor ketidakpatuhan majikan terhadap undang-undang perburuhan yang ditetapkan kerajaan.
Bernama sebelum ini melaporkan sehingga April 2019, sebanyak 796 permohonan menggajikan pekerja asing diterima. Daripada jumlah tersebut sebanyak 216 permohonan yang melibatkan 1,840 pekerja asing telah disokong dan 580 permohonan telah ditolak.
Daripada jumlah yang ditolak itu, 517 permohonan disebabkan majikan gagal mematuhi undang-undang perburuhan manakala baki 63 disebabkan majikan tidak mempunyai kelayakan untuk menggajikan pekerja asing.
Bagaimanapun, pada 12 Jun lalu, Kulasegaran mengakui beliau sendiri tidak tahu alasan kerajaan pusat masih membekukan pengambilan pekerja asing dalam beberapa subsektor di bawah bidang perkhidmatan.
Berdasarkan semakan Malaysiakini di laman web KDN, sektor perkhidmatan termasuk enam sektor yang dibenarkan, selain perkilangan, perladangan, pertanian, pembinaan, perlombongan dan pengkuarian.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan