Kekalahan Perak di tangan Kedah pada final Piala FA 2019 disifatkan sebagai satu keputusan yang kejam oleh penjaga gol skuad ‘The Bos Gaurus’, Muhammad Hafizul Hakim Khairul Nizam.
Juara Piala Malaysia 2018 itu tewas 0-1 disaksikan 83,520 penyokong di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) pada final yang berlangsung selama 120 minit selepas kedua-dua pasukan gagal memecah kebuntuan dalam 90 minit masa permainan sebenar.
Ketika ditemui selepas perlawanan semalam, Hafizul, 26, menyifatkan Perak mendominasi permainan dengan baik selain mencipta banyak peluang menjaringkan gol dan kegagalan menyempurnakan segala peluang terhidang itu membuatkan kekalahan tersebut amat perit untuk ditelan.
“Memang kami kecewa sebab bagi saya ini merupakan satu keputusan yang cukup kejam sebab kalau tengok perlawanan malam ini pasukan telah berikan sehabis baik...semua pemain yang turun beraksi memberikan segalanya yang mereka ada.
Pada aksi semalam, jaringan pemain gantian Mohd Fadzrul Danel Mohd Nizam pada minit ke-105 menjulang Kedah muncul juara Piala FA 2019 sekali gus meranapkan impian Perak untuk menamatkan penantian 15 tahun merangkul trofi berprestij tersebut selepas kali terakhir melakukan pada 2004.
Meskipun tewas, Hafizul layak diberi pujian atas prestasi terbaik ditampilkan sepanjang aksi dengan bertindak cemerlang menyelamatkan beberapa percubaan berbahaya Kedah termasuk situasi satu lawan satu berdepan Muhammad Farhan Roslan dan Jonatan Jesus Bauman di minit-minit akhir perlawanan.
Menurut Hafizul, kekalahan tersebut sedikit sebanyak memberi pengajaran berguna buat Perak.
Beliau berkata semua pemain perlu melupakan mengenai kekecewaan itu dan memberikan tumpuan terhadap saingan Piala Malaysia yang bermula Jumaat ini.
“Perlawanan ini satu pembelajaran dan pengajaran. Kita belajar macam mana nak kawal situasi kalau beraksi dengan 10 pemain dan menyerap tekanan yang cukup hebat dari pasukan Kedah. Ini satu pengajaran berguna untuk pasukan.
“Kami tidak boleh terus rasa kecewa atas kekalahan ini. Kami perlu cepat lupakan kerana minggu depan kita akan bermula dengan saingan Piala Malaysia. Jadi segala fokus ketika ini perlu diberikan terhadap saingan itu,” tambah beliau.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan