Rabu, 31 Julai 2019

Kesatuan guru tepis bantahan Dong Zong terhadap khat

Pengenalan kepada seni khat akan dimasukkan dalam buku teks 
Bahasa Melayu untuk sekolah-sekolah aliran mulai tahun depan.
 
PETALING JAYA: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) tidak melihat sebarang masalah pada langkah Kementerian Pendidikan memasukkan khat dalam sukatan mata pelajaran Bahasa Melayu bagi sekolah-sekolah aliran.

Perkembangan ini susulan bantahan kumpulan pendidikan Cina, Dong Zong dan Jiao Zong yang berkata pengajaran khat akan membebankan lagi para pelajar dan guru, dan tiada kaitan dengan penguasaan bahasa kebangsaan.

NUTP bagaimanapun berkata penambahan khat dalam sukatan pelajaran Bahasa Melayu Tahun 4 akan mendedahkan para pelajar kepada seni itu, dan tidak patut dipolitikkan.

“Kami berpendirian apa sahaja yang mendidik dan bukan keagamaan boleh diterima. Khat cuma seni tulisan, dan pendedahan padanya tidak bermakna kandungan keagamaan diajar kepada para pelajar kita,” kata Setiausaha Agung Harry Tan.

Beliau berkata ia sama seperti mempelajari tulisan sambung sebagai sebahagian sukatan mata pelajaran Bahasa Inggeris.

“Di sekolah-sekolah, kita juga ada seni tulisan Cina, tapi itu tidak bermakna para pelajar beragama Islam diajar agama lain,” tambahnya.

Tan berkata bahagian tentang khat dalam buku teks itu bersifat pengenalan.

“Para pelajar perlu kesan garis bentuk dalam buku-buku teks, tetapi itu cuma pendedahan,” katanya, dan menambah para murid hanya diberi 5 ungkapan untuk latihan tulisan khat.

Beliau berkata hasil kerja khat para pelajar tidak termasuk dalam penilaian mereka, dan mereka tidak perlu membeli pena khat istimewa.

Dong Zong dan Jiao Zong mendakwa khat “tidak sesuai” dimasukkan dalam mata pelajaran bahasa Melayu.

Bagaimanapun bantahan kepada pengenalan khat kepada para pelajar tidak patut dilihat sebagai keengganan meraikan kepelbagaian budaya dan bahasa, kata mereka.

Tiada ulasan: