Setelah Khalifah Usman (khalifah ke-3 dari era Khulafa Ar-Rasyidin) dibunuh oleh pemberontak, masyarakat Madinah yang ribut mendatangi Saidina Ali Abi Talib. Seruan mereka kepada lelaki itu hanyalah satu; hanya Ali kini yang layak sebagai pemimpin. Hanya Ali yang dapat mengetuai reformasi. Sesungguhnya umat memerlukan Ali, dan Ali memerlukan umat.
Apakah yang Ali katakan kepada mereka?
Dengan sungguh sopan dan penuh susila, Ali menolak suguhan mereka. Ali dengan baik menghulurkan mereka pintu keluar. Ali meminta mereka melupakan hasrat untuk melantiknya. Ali menjawab dengan tenang, “Aku lebih baik untuk kamu sebagai penasihat, berbanding selaku pemimpin”.
Tentu, ungkapan Ali itu mengejutkan. Malah jawapan itu amat mencengangkan. Bukankah Ali adalah pemimpin yang layak sekali untuk menjawat gelar khalifah. Siapa lagi punya karisma sehebat Ali? Apakah ini satu helah politik yang menggamamkan?
Khalifah Usman memerintah selama 11 tahun, menganjur pemerintahannya kepada 2 penggal dari 6 November 644 masihi hingga 17 Jun 656 masihi. Era pentadbiran beliau dipenuhi dengan bantahan dan percekcokan politik. Ia melampaui apa yang kita alami hari ini. Apa yang kita hadapi hari ini hanya pergeseran kecil. Pembunuhan Usman mengejutkan sekali. Masyarakat Islam yang baru ditinggalkan oleh Rasulullah lama tercebur ke dalam fitnah, dan bid’ah.
Pengkritik dan pembangkang kepada kerajaan Usman menilai beliau menyimpang. Laungan reformasi atau teriakan agar sesuatu segera dilakukan berkumandang di mana-mana. Kempen anti Usman mencanak. Tatkala Saidina Usman terkorban, jerit reformasi itu kian menggema; dan permintaan rakyat adalah mudah:
Tolong Ali, ketuai kami. Ketuai reformasi.
Akan tetapi Saidina Ali menolak. Dia enggan. Sungguh menggemparkan Ali menolak reformasi, apakah itu mungkin terjadi?
Kata Saidina Ali kepada masyarakat waktu itu wajar kita renungi. Kata-kata itu adalah mutiara kefasihan yang mutlak. Ali memilih untuk tidak akur kepada tuntutan majoriti. Jika dinilai dari kerangka demokrasi, Ali mendapat majoriti mudah. Ali beroleh lebih 2/3. Hatta pengkritik dan pembenci Ali mencebur dalam seruan reformasi dan meneriak-neriak agar Ali didokong dan diangkat.
Pun Ali mengatakan; “Tinggalkan aku dan carilah seseorang yang lain, memandangkan kita mendepani urusan yang mempunyai pelbagai wajah dan warna. Yang mana hati tak daya menanggung dan akal kebijaksanaan tak mampu menerima. Ufuk langit dilitupi awan-gemawan dan jalan kebenaran tidak jelas. Ketahuilah jika aku menerima undangan kamu, aku akan memimpin berdasarkan pengetahuanku, dan aku akan tegas tidak mempedulikan apa pun jerkahan kamu, atau omelan kalian. Akan tetapi, jika aku ditinggalkan aku akan menjadi seperti kamu, di mana aku akan akur dan menurut sesiapa yang kamu letakkan sebagai pemimpin untuk mengurusi kalian. Aku lebih baik untuk kamu sebagai penasihat, berbanding selaku pemimpin”.
Ucapan Ali itu gempa politik dihitung dengan seismograf apa pun.
Keengganan Ali itu sesungguhnya adalah tulen.
Pertama, Ali tidak terpesona dengan keinginan menjadi pemimpin.
Kedua, Ali menjelaskan terdapat penyimpangan dan penyelewengan setelah kewafatan nabi. Maka jika dia didesak juga untuk menjadi pemimpin; dia tidak akan berpaling untuk membetulkannya. Maka ketegasan itu pasti pahit dan perit untuk segelintir mereka. Yang berada di depan Ali itu adanya pembangkang yang pura-pura penyokong, terdapat pula pemberontak yang baru sahaja menetak Usman. Ketegasan Ali, dia mengingatkan, akan membawa kepada kegawatan politik dan sosial. Jangan memilih jalan ini, demikian pinta Ali.
Ketiga, penolakan Ali itu dengan penuh kesedaran psikologi dan sosiologi. Pemilihan Ali oleh manusia yang ramai melaut itu bukan atas kesedaran reformasi dan usaha untuk mengembalikan ajaran nabi yang menjuarai hak asasi manusia, kaum minoriti, dan menyelamatkan orang kecil yang tertindas. Reformasi itu hanya berguna untuk kaum oportunis, yang antara lain menjadi tukang sorak agar jemaah haji dari Mesir itu mengepung kediaman Usman dan membunuhnya. Motivasi pengundi ketika itu bukan reformasi. Pengundi tidak mempedulikan hajat sebenar sebuah kerajaan iaitu keadilan dan penegakan hukum. Bahkan memilih untuk menjadi ketua adalah kebalikan dan anti reformasi, dan hanya mengalih kepada perpecahan dan kekeliruan.
Keempat, jika masyarakat berkeras berkehendakkan pemerintahan Ali. Mereka harus bersumpah untuk ikut sama menolak penyelewengan, pemulihan kerohanian, pendirian hukum, penyedaran semula apa yang sudah terlupakan, dan penjelasan kepada realiti yang mengalami keterdesakan dan pencabulan yang gamat.
Jadi penolakan Ali kepada reformasi itu adalah satu ingatan, satu amaran, satu ultimatum; bahawa melantiknya hanya akan membawa kepada keadilan, dan membawa kepada reformasi penuh, ia akan membawa kepada reformasi sebenar. Yang sejati. Ali meninggalkan pesan; bahawa mungkin, kalian, tidak bersedia.
Namun demikian sejarah menyaksikan Ali tidak punya pilihan lain. Kasihan Ali. Seruan reformasi di dapur rumah Usman yang dibawa sehingga ke perkarangan kediamannya itu adalah seruan reformasi palsu. Yang berhimpun di depan Ali adalah penipu reformasi. Yang berkumpul di depan Ali adalah pembohong reformasi. Mereka menjerit-jerit konon mereka adalah “otai” walhal Usman barusan dibantai. Ali tahu mereka adalah penyangak. Kerana itu Ali tersangkak. Ali mengingatkan seperti ucapannya di atas. Ucapan itu pendek tetapi mengandungi pesan dan hikmah.
Pun, seberapa banyak Ali tidak mahu, dia terpaksa memikul tugas yang berat itu. Apakah motif Ali menerima jawatan tersebut. Sedangkan Ali tahu jerit-jerit semangat reformasi itu adalah jenaka.
Ali dalam khutbah yang lain, seperti terakam dalam Nahjul Balaghah menjelaskan mengapa dia terpaksa menerima panggilan reformasi tipu itu.
Ali mengatakan; “Wahai Tuhan! Kamu tahu yang kami tidak memburu kuasa ataupun melahap kemegahan dunia. Kami hanya mahu mengembalikan tunjang agama-Mu, dan melakukan reformasi di muka bumi agar mereka yang tertindas dalam kalangan kami akan selamat dan segala perintah-Mu yang agung akan dapat ditunaikan”.
Ali kemudian menyatakan di kesempatan lain begini; “Sokongan kalian terhadapku bukan ketidaksengajaan, bukan pun posisi aku dan posisi kalian itu sama. Aku mencari kalian demi mencari Tuhan, akan tetapi kalian mencari ku untuk kepentingan dan manfaat kalian sendiri. Wahai manusia, bantulah aku untuk kalian di sebalik nafsu kalian tersebut, kerana sesungguhnya, Demi Tuhan aku akan menuntut bela untuk golongan yang tertindas daripada mereka yang menindas. Dan aku akan menghela penindas dengan hidung mereka kepada sumber kebenaran, meskipun dia enggan”.
Dalam kenyataan yang lain, Ali mengumumkan; “Orang memberontak menolak Usman, dan ketika itu aku sedang terasing, orang membunuhnya. Kemudian orang memilih aku untuk mengetuai di sebalik keengganan ku, dan jika tidak kerana takutkan kehancuran agama ini, aku tidak akan menerima orang”.
Jadi Ali tahu, dia memilih dan memimpin reformasi palsu. Dia, Ali tidak memerlukan kepimpinan. Ali tidak perlu kepada jawatan. Akan tetapi jika jawatan dipaksakan ke atasnya, Ali meminta masyarakat agar patuh dan setia yakni melupakan tamak haloba dan meredam nafsu. Ali meminta masyarakat kembali kepada era gemilangnya Nabi Muhammad yang menjuarai golongan tertindas, yang menegakkan hak asasi manusia.
Dalam tempoh Ali diasingkan itu terdapat banyak fitnah berkesiuran, dan betapa merumbanya hadis dan riwayat palsu dijana untuk menistainya. Ali memilih untuk menolak reformasi yang pura-pura.
Dia tahu, tidak ada bagusnya memimpin rakyat, atau pengikut yang di dalam batin penuh kejahatan dan kekejian sedang di mulut mengucap-ngucapkan pemujaan dan ode pengampuan.
Berkali-kali Ali menegaskan, reformasi adalah “wa taufir al huquqi ala’ ahliha” iaitu mengembalikan hak kepada orangnya.
Momen Ali menolak reformasi palsu itu adalah momen hari ini.
Momen yang mana kita sedang depani. Momen kepalsuan. Momen ini adalah momen penindas menyamar tertindas. Seperti Ali, jika kita berada dalam pasukan tertindas kita dengan lekas mengecam dan menghidu siapa yang menindas. Pun, kita tiada pilihan lain melainkan bergabung juga.
Pun, umat ketika itu ada Ali, manusia sebaik Ali pun mereka tipu. Kemudian mereka bunuh.
Makanya, apa sangatlah momen reformasi palsu seperti hari ini. Ada 2 sisi reformasi. Yang didamba Ali dan masyarakat tertindas adalah reformasi Muhammadi. Pencetus ummah yang pernah mentakhtakan wanita, bukan menghinjaknya berkali-kali. Itu pun contoh dan misal kecil.
Malang Ali, reformasi itu hanya berguna untuk kaum oportunis. Seperti hari ini, reformasi berguna untuk laba diri yang ingin melobi. Jumlah sokongan diteriak, dan jabat tangan yang palsu berhuluran.
Reformasi Ali tidak sempat dipulihkan. Insan sebudiman Ali turut dibunuh.
Dan umat sasar dan nanar sampai kini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan