Isnin, 29 Julai 2019

Beri peluang orang asli belajar Islam secara sukarela

ainulillia  

 

Salahkah peluk Islam jika ikut contoh baik dari guru Islam di sekolah?

BANGI– Teras Pengupayaan Melayu (TERAS) menggesa kerajaan meneruskan pendekatan pendidikan menyeluruh dan seimbang secara berkesan kepada semua pelajar termasuk masyarakat orang asli.

Pada masa sama, Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid juga menuntut masyarakat orang asli diberi peluang untuk belajar mengenai agama Islam sebagai agama rasmi negara ini.

Katanya, golongan berpendidikan Barat tidak sepatutnya cuba menentukan keperluan wajar atau tidak subjek Pendidikan Islam  diajar di sekolah kerajaan.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan seorang jurucakap dari pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Centre for Orang Asli Concerns, Colin Nicholas yang mendakwa, ada guru secara tidak langsung mendakwah pelajar masyarakat asli untuk memeluk Islam.

Colin dalam dialog meja bulat juga mendakwa, kerajaan telah mengguna pendekatan “integrasi” dan tidak lagi “assimilasi” untuk membawa mereka ke dalam masyarakat Melayu.

Mengulas perkara itu, Mohd Azmi menolak keras dakwaan kononnya pelajar yang memeluk agama Islam telah melanggar peraturan, undang-undang dan Perlembagaan negara.

“Memang benar tidak dibenarkan memaksa seseorang itu memeluk Islam. Namun, jika dengan pengajaran dan contoh yang baik oleh guru Islam di sekolah, adakah memeluk Islam menjadi isu?,” soalnya.

Malah, beliau berkata, persepsi negatif terhadap pelajar yang dididik dengan pendidikan Islam secara formal adalah berbaur sikap anti Islam. 

“Malaysia yang diiktiraf negara Islam, menjalankan setiap aspek pembangunan termasuk dalam bidang pendidikan dengan ciri Islam tidak harus dipersoalkan.

“Apakah jika pelajar-pelajar itu dipengaruhi untuk menganut agama lain dari Islam seperti Kristian maka itu dianggap boleh dan diterima?,” katanya.


Tiada ulasan: