Ketua
Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim (kanan)
berbual sesuatu dengan Menteri Hal Ehwal Ekonomi merangkap Timbalan
Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali (kiri) pada sidang media di Ibu
Pejabat PKR, Petaling Jaya, Selangor. foto FAREEZ FADZIL
KUALA LUMPUR – Pendirian Datuk Seri Mohamed Azmin Ali terhadap
kenyataannya hari ini bahawa Tun Dr Mahathir Mohamad perlu diberi
peluang memimpin hingga ke akhir penggal, dilihat canggung dengan
ketetapan yang diambil oleh partinya.
Menurut penganalisis politik, Dr Kamarul Zaman Yusuf, Timbalan
Presiden PKR itu dilihat cuba mempertikaikan ketetapan yang dicapai oleh
partinya pada 24 Februari lalu.
“Kenyataan rasmi ini juga bercanggah dengan ketetapan Mesyuarat
Majlis Pimpinan Pusat PKR pada 24 Februari 2019 di mana Tun Dr Mahathir
Mohamad diangkat menjadi Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan
Ismail menjadi Timbalan Perdana Menteri, manakala Datuk Seri Anwar
Ibrahim akan mengambil alih sebagai Perdana Menteri ke-8 selepas tempoh 2
tahun”.
“Perkara yang terakhir ini memungkinkan Azmin dihadapkan ke Lembaga
Disiplin parti kerana membuat kenyataan yang menentang keputusan rasmi
parti,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Dr Kamarul Zaman Yusuff
Azmin hari ini berkata, jaminan bahawa Dr Mahathir perlu diberikan
mandat sehingga akhir penggal bagi menjamin kestabilan, kesinambungan
dan ketuntasan dasar-dasar kerajaan.
Beliau berkata demikian bagi mengalu-alukan kenyataan Presiden PAS
Abdul Hadi Awang yang menegaskan pendirian parti itu dan sekutunya UMNO
yang menyokong Dr Mahathir.
“Pendirian tersebut adalah seiring pandangan yang pernah saya
lontarkan supaya usaha mengembalikan kegemilangan negara dapat
direalisasikan dengan segera,” katanya Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu
dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Dr Kamarul berkata, Azmin cuba untuk menghangatkan kembali persoalan mengenai kedudukannya dalam PKR.
“Kenyataan rasmi ini juga dilihat bermasalah kerana ia mengalu-alukan
kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, yang menegaskan
pendirian Pas dan UMNO untuk memberikan dukungan penuh kepada Dr
Mahathir sebagai Perdana Menteri sehingga akhir penggal sedangkan Pas
dan UMNO adalah musuh utama parti beliau, PKR,” kata beliau lagi.
-MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan