Rabu, 31 Julai 2019

Tak hadir mesyuarat: Ini soal pengurusan parti, kata Azmin


   

Mohamed Azmin Ali tidak mengulas panjang berkenaan isu ketidakhadirannya dalam mesyuarat PKR dan hanya berkata ia adalah soal dalaman parti.

“Apa kena mengena dengan Malaysiakini, itu soal pengurusan parti," kata timbalan presiden PKR itu kepada pemberita, sebelum meninggalkan Majlis Kesyukuran dan Doa Selamat Jemaah Haji Parlimen Gombak, malam ini.

Isu kehadiran dalam mesyuarat PKR mengundang perhatian selepas pemimpin parti itu diingatkan untuk hadir mesyuarat memandangkan jadual telah diedarkan dua atau tiga bulan lebih awal.

Semalam, Azmin yang juga menteri hal ehwal ekonomi mempersoal mengapa dirinya menjadi sasaran berkenaan isu itu, selepas tidak hadir ke mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR sehari sebelumnya.

Beliau berkata sudah menjadi lumrah bagi seseorang pemimpin tidak dapat hadir ke mesyuarat parti, apatah lagi jika turut menjadi anggota kerajaan.

Bagaimanapun Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail berkata beliau tidak hadir ke mesyuarat MPP dan mesyuarat Biro Politik sejak pemilihan parti pada November 2018.

Saifuddin yang juga menteri kabinet berkata Azmin tidak pernah memberikan sebarang sebab atas ketidakhadirannya.

'Minta Saifuddin semak jadual'

Sementara itu setiausaha politik Azmin, Hilman Idham juga berkata Azmin tidak hadir sebelum ini disebabkan urusan kerajaan.

“Dia (Azmin) dah maklumkan bahawa dia tak boleh hadir sebab urusan kerajaan. Sebagai menteri dia ada tanggungjawab, sebagai kerajaan. Kalau dia ada waktu, dia boleh hadir. Kalau tidak, dia hadir mesyuarat kerajaan.
Hilman Idham
“Mintalah setiausaha agung (Saifuddin) semak jadual (kehadiran Azmin),” kata adun Gombak Setia itu lagi, ketika ditanya berkenaan kenyataan Saifuddin berhubung ketidakhadiran Azmin sejak November 2018.

Mesyuarat Biro Politik - yang mengendalikan soal eksekutif - diadakan seminggu sekali, manakala mesyuarat MPP - badan pembuat keputusan tertinggi parti - sebulan sekali.

MPP memiliki 41 anggota, dengan 28 dipilih ketika pemilihan tahun lalu manakala 13 lagi menerusi lantikan. Sejumlah 22 anggota tersenarai dalam calon kem Azmin (biasanya disebut sebagai 'cai') ketika pemilihan lalu.

Terdahulu, Azmin dalam ucapannya mengucapkan selamat kepada bakal jemaah yang akan berlepas ke Makkah bagi menunaikan ibadah Haji bagi tahun ini.


Tiada ulasan: