Sabtu, 27 Julai 2019

Wan Ji tak layak diberi pentas

siti hafidah 

 

Ketua Menteri Melaka patut dari awal tak jemput aktivis Islam liberal

BANGI,  Aktivis Islam liberal, Wan Ji Wan Hussin tidak layak diberikan sebarang pentas kerana dia adalah banduan yang ditangguhkan hukuman akibat kelancangan lidah menghina sultan, kata Ketua Biro Manhaj Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Ustaz Omar Kassim.

“Tidak di TV Hijrah, tidak di mana-mana seminar atau wacana, tidak juga di mana-mana masjid di seluruh negara, sekurang-kurang hingga kes itu dibicarakan dan diputuskan di mahkamah rayuan,” tegas Ustaz Omar.

Beliau berkata demikian ketika mengulas penamatan kontrak perkhidmatan Ketua Penolong Pengarah (Penguatkuasaan) Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Datuk Rahimin Bani, baru-baru ini.

Isu penamatan kontrak Rahimin hangat dibincangkan di media sosial sejak kelmarin, didakwa disebabkan kehadiran Wan Ji menyampaikan kuliah Subuh di Masjid Bukit Beruang, Ayer Keroh pertengahan bulan ini.

Bagaimanapun, dakwaan itu dinafikan Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari dan berkata, penamatan itu untuk memberi laluan kepada muka baharu menjawat jawatan berkenaan.

Adly berkata, jawatan yang disandang Rahimin sejak lebih 20 tahun lalu itu sudah ada calon pengganti membabitkan empat pegawai di Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) dan JAIM.

Mengulas perkara itu, Ustaz Omar berkata, Ketua Menteri sepatutnya daripada awal tidak mengalu-alukan kehadiran Wan Ji ke Melaka.

“Apabila terjadi fitnah, semua berdolak-dalik. Pengajaran terbesar di sini ialah makhluk bernama Wan Ji, jangan lagi berikan pentas oleh mana-mana pihak.

“Ramai lebih percaya, pemberhentian kontrak Ustaz Rahimin Bani (yang diberhentikan melalui lisan) mempunyai kaitan dengan ceramah Wan Ji yang tidak disenangi oleh rakyat negeri Melaka sendiri,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Wan Ji dihukum penjara setahun selepas Mahkamah Tinggi Shah Alam menolak rayuannya terhadap sabitan dan hukuman sembilan bulan penjara kerana menerbitkan perkataan menghasut dan menghina terhadap Sultan Selangor, tujuh tahun lalu.

Setelah dua hari menjalani hukuman penjara, dia dibenar oleh mahkamah menangguhkan hukuman itu. Keputusan itu dibuat Hakim Datuk Abdul Halim Aman memerintah terma-terma di Mahkamah Sesyen Shah Alam sebelum ini dilanjutkan.

Pada 10 September 2014, Wan Ji mengaku tidak bersalah menerbitkan perkataan menghina Sultan Sharafuddin Idris Shah termasuk membabitkan isu agama dalam akaun Facebooknya.

Kesalahan itu dilakukannya di Pejabat Perumahan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Tingkat 5, Bangunan Sultan Salehuddin Abdul Aziz Shah, Seksyen 5, di sini jam 10 pagi, pada 5 November 2012.


Tiada ulasan: