Lapan akan dikenakan tindakan mahkamah, 46 diberi notis peringatan
JOHOR BAHRU
– Sebanyak 67 kilang di Pasir Gudang setakat ini dikenal pasti
beroperasi tanpa lesen dalam operasi bersepadu melibatkan pelbagai
agensi susulan insiden muntah-muntah dan sesak nafas berulang di kawasan
itu sejak 20 Jun lepas.
Pengerusi
Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar,
Tan Chen Choon menegaskan operasi seumpama itu akan terus dijalankan
sebagai usaha menangani masalah pencemaran di kawasan berkenaan.
“Di
Pasir Gudang ini dalam catatan kita ada 67 kilang yang tiada lesen di
bawah Majlis Perbandaran Pasir Gudang. Daripada jumlah itu, lapan akan
dikenakan tindakan mahkamah, 46 diberi notis peringatan, tiga telah di
sita, dua kilang diperintah tutup manakala lapan lagi tindakan akan
diambil,” katanya.
Beliau
ditemui pemberita selepas operasi penguatkuasaan melibatkan empat
kilang di kawasan Pasir Gudang hari ini yang turut disertai Pengarah
Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor Wan Abdul Latiff Wan Jaafar.
Operasi
disertai pelbagai agensi termasuk JAS, MPPG, Polis Diraja Malaysia dan
Jabatan Imigresen Johor melibatkan 60 anggota secara keseluruhan.
Dalam
serbuan hari ini, dua premis didapati mempunyai lesen dan dua lagi
tidak mempunyai lesen termasuk sebuah kilang memproses plastik kitar
semula yang disita. Ia turut didapati memproses plastik yang diimport
dari Ireland dan United Kingdom.
“Tindakan
itu (menghantar semula sisa plastik ke negara asal) memang ada dalam
perancangan kita, yang mana bila kita kesan tidak patuh, kita akan sekat
dan akan dihantar balik. Pemilik premis belum dikenal pasti namun
siasatan lanjut akan diteruskan,” kata Tan.
Operasi itu turut menyaksikan 12 pendatang tanpa izin dari Bangladesh, Indonesia dan China ditahan. – Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan