Rabu, 31 Julai 2019

Pakar pertikai dakwaan IGP isu dadah 'bakal setaraf Colombia'


   

Dakwaan Ketua Polis Negara (IGP) bahawa penyalahgunaan dadah di negara ini kini pada tahap kritikal dan bakal menjadi setaraf negara Colombia dipertikaikan oleh Pengarah Pusat Pengajian Sains Ketagihan Universiti Malaya (UMCAS), Dr Rusdi Abd Rashid.

Kata Rusdi, setakat ini, tiada kajian berkaitan 'prevalen' dadah melibatkan seluruh negara sebagai rujukan untuk mengatakan wujud peningkatan atau penurunan terhadap penggunaan dadah.

'Prevalen' merujuk kepada bahagian daripada populasi masyarakat yang mempunyai satu karakteristik spesifik (dalam kes ini, menggunakan dadah) pada satu-satu masa.

“Saya sebenarnya tak pasti apa maksud IGP masalah dadah makin kritikal. Dari mana sumbernya?

Adakah mana-mana kajian prevalen telah dibuat oleh pihak polis?

“Atau hanya berpandukan jumlah tangkapan yang bergantung serbuan dadah? Lebih banyak operasi maka lebihlah tangkapannya. (Kalau begini) Ini tak bermakna lebih (meningkatnya) masalah dadah.

“[...] AADK (Agensi Anti Dadah Kebangsaan) hanya berpandukan jumlah tangkapan dan tiada data sahih tentang peningkatan penagih sebenarnya. IGP mungkin merujuk kepada AADK semata-mata,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini. 

Kata Rusdi, mengikut pengamatannya, prevalen dadah heroin telah menurun dengan ketara kerana kewujudan ubat metadon yang sangat berkesan mencegah relaps (jebakan-semula), manakala prevalen dadah stimulan pula semakin meningkat.

Dadah stimulan ialah dadah perangsang yang digunakan untuk merangsang aktiviti sistem saraf pusat seperti amfetamin, methamphetamine (syabu), kokain, dan methylenedioxy-methamphetamine (MDMA - seperti pil Ecstasy).
“Itu sebabnya banyak pusat serenti atau Puspen (Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik) sudah kurang penghuninya dan ada yang telah ditutup, cuma berlaku sedikit penambahan penagih stimulan yang kini baru diletakkan bawah Akta Dadah Berbahaya sejak beberapa tahun lalu,” katanya lagi.

Semalam, IGP, Abdul Hamid Bador turut menjelaskan Jabatan Narkotik Polis melakukan banyak serbuan selain bekerjasama dengan negara jiran bagi menangani gejala dadah, termasuk serbuan ke atas anggota polis sendiri.

Katanya, sejak Januari, 30 anggota polis ditahan kerana menagih metamfetamina.

Bagaimanapun, kata Hamid, serbuan sahaja tidak memadai, sebaliknya memerlukan memerlukan pendekatan holistik. Beliau turut berharap kerajaan memberi sesuatu yang “lebih tajam” kepada pihak polis dalam menangani isu tersebut.

Dekriminalisasi tak kurangkan masalah
 
Akhir bulan lalu, Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad mengumumkan kerajaan merancang untuk menjadikan isu pemilikan dan penggunaan dadah dalam kuantiti kecil sebagai bukan lagi kesalahan jenayah (dekriminalisasi).

Dekriminalisasi itu membuatkan penagih dadah bakal dianggap sebagai pesakit dan bukannya penjenayah, dan mereka akan dirawat melalalui kaedah sains dan perubatan sebelum menggunakan pendekatan menghukuman dan penahanan.

Dengan dekriminalisasi itu, hukuman jenayah kerana memiliki dan menggunakan dadah dengan kuantiti kecil untuk kegunaan peribadi akan dihapuskan. Bagaimanapun, pengedaran dadah kekal sebagai kesalahan jenayah.

Mengulas mengenai hal itu, pakar kriminologi dan psikologi Universiti Sains Malaysia (USM), PM Dr Geshina Ayu Mat Saat berpendapat dekriminalisasi dadah tidak akan dapat mengurangkan masalah penagihan dadah di negara ini.
“Memanglah akan mengurangkan statistik, kerana ia (pengambilan dadah secara kecil) bukan lagi menjadi satu jenayah. (Tapi) Implikasi yang lebih besar perlu diambil kira.

“ … Tiada kawalan keselamatan orang sekeliling kerana isu khayal (akibat) rawatan sendiri (menggunakan dadah) mungkin membahayakan orang lain seperti memandu atau membuat jenayah di bawah pengaruh dadah.

“Bunuh diri kerana terlebih dos juga bukan lagi isu kerana (terpulang) pada pemantauan sendiri, dan dadah menjadi pilihan utama sebagai jalan menyelesaikan masalah, stres, kesakitan, dan lain-lain,” katanya.

“Dekriminalisasi dadah mungkin dijadikan alasan untuk mendekriminalisasi aktiviti jenayah dan projenayah lain yang berkaitan dengan penggunaan dadah,” katanya lagi.

Biarpun menjelaskan pengambilan dadah adalah aktiviti menjahanamkan dan mensabotaj diri sendiri yang dilakukan dengan sengaja dan berniat, Geshina mengakui ia disebabkan proses yang begitu kompleks, seperti dalam kes pemangsaan jenayah.

Malangnya, kata Geshina, Malaysia masih kekurangan pakar yang mampu menangani isu-isu yang kompleks ini seperti dalam bidang pengurusan trauma, pemulihan, terapi kekeluargaan, dan victimology (kajian tentang pemangsaan).

Tak selesai jika terus dianggap sebagai penjenayah

Berbeza pandangan dengan Geshina, Rusdi yang menyokong dekriminalisasi dadah menganggap isu dadah tidak akan selesai sekiranya penagih terus dianggap sebagai penjenayah, namun ia boleh diselesaikan “ke tahap tertentu” jika mereka dianggap sebagai pesakit.

“Penagihan dadah adalah satu penyakit kronik, sama seperti penyakit kencing manis. Penyakit kencing manis dah selesai ke? Tidak, dan tak akan selesai.

“Tap kita boleh cegah komplikasi. Boleh cegah buang pinggang rosak, cegah saraf rosak, cegah potong kaki. Bagaimana? Makan ubat, cucuk insulin, amalkan diet kurang gula, gaya hidup sihat,” katanya.

Ulasnya, penagihan dadah juga perlu melalui rawatan dan mencegah komplikasi lebih buruk tanpa perlu melalui pengasingan atau pemenjaraan.

“Kita buat penilaian untuk ubat metadon jika pengguna heroin yang teruk, pengguna metamfetamina kita bagi Naltrexone, Methylphenidate, antipsikotik, antidepresen, dan sebagainya.

“Bagi pengguna alkohol kita buat penyahtoksinan dengan benzodiazepine bertindak-jangka-panjang (long acting), dan beri mereka agen antiketagihan (anti craving), seterusnya kaunseling untuk mencegah relaps,” terangnya lagi.

“Semua ini kita buat secara pesakit luar dan mereka boleh sambung bekerja atau belajar. Tak perlu dipisahkan dari keluarga selama dua tahun … tak sampai sebulan balik ke sarang dadah dan akhirnya mencuri sebab tiada kerja.

“(Nak kerja) tak boleh dapat kerja sebab nama ada rekod jenayah,” katanya.


Tiada ulasan: