Apa yang kelihatan kini, berpolitik lebih
bermotif melangsai sentimen peribadi dan menyorot agenda perjuangan
kaum-kaum tertentu. Bagaimanapun, rakyat pada umumnya semakin sedar
dengan situasi ini. Mereka sedar, dalam suasana semasa, ada banyak
perkara yang mereka harapkan terhadap pihak yang pernah memberi
‘harapan’ pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu sudah melencong
jauh.
UMNO dan Pas pantas mengetengahkan
manifestasi kesedaran itu kepada umum. Dan semakin ramai pula yang
bangkit meluahkan kesedaran serupa. Bersama mereka ada perasaan kesal,
kecewa dan marah, mungkin kerana rasa tertipu dan terpedaya.
Lalu,
tidak hairanlah jika kerjasama UMNO-Pas menjadi pertaruhan penting
khususnya bagi umat Islam dan orang Melayu untuk mengembalikan keyakinan
bahawa kesucian Islam dan kedaulatan bangsa kekal teguh tanpa terbuka
ruang kepada mana-mana pihak merobek dan mencerobohi-nya.
Kata
rakyat, mereka tertipu dengan janji-janji yang tidak ditunaikan. Tiada
banyak perubahan dalam perancangan kerajaan untuk memajukan negara dan
menjamin kesejahteraan rakyat. Apa yang dilihat hanya berpolemik dengan
hal-hal politik yang tiada penghujung.
Juga
kata rakyat, fokus yang sepatutnya menstabilkan politik bagi melicinkan
perjalanan tadbir urus negara, masih ‘terbelit’ dengan hal-hal
remeh,seperti isu peribadi pemimpin-pemimpin tertentu yang dikaitkan
dengan ‘terlondehnya’ nilai moral, akhlak dan integriti.
Isu
penggantian jawatan Perdana Menteri sampai masa lantik sahajalah! Buat
apa bising-bising?
Kerap pula timbul keadaan di mana seseorang menteri
Kabinet terpaksa menjelaskan semula sebarang kenyataan ekoran mendapat
reaksi negatif daripada rakyat.
Rakyat mahu
kehidupan mereka tidak terus tertekan dengan soal-soal yang membebankan.
Termasuk aspek kos sara hidup, punca pendapatan, kuasa beli dan
keperluan dalam kehidupan harian. Meliputi kemudahan tempat tinggal,
sistem pengangkutan awam dan keselamatan.
“Pengangguran
itu suatu fenomena biasa?” Belum tentu rakyat boleh terima. Bayangkan
pula apa perasaan puluhan ribu kakitangan awam bertaraf kontrak sudah
ditamatkan perkhidmatan.
Sementara bagi umat
Islam dan orang Melayu, mereka tidak pernah membayangkan kesediaan atau
kesanggupan berkompromi sehingga ke peringkat terhakis atau terombak
segala hak dan keistimewaan yang sedia dimiliki. Mereka tidak merelakan
slogan ‘kesamarataan mutlak untuk semua’ menjadi kenyataan. Tidak
mungkin! Memadailah dengan apa yang sudah tersurat dalam Perlembagaan
Persekutuan atas nama hak dan kedudukan sebenar.
Kata
orang Melayu, mana-mana entiti atau institusi yang lahir atas ‘roh’
kepentingan Melayu tidak perlu ‘pandai-pandai’ distrukturkan semula, apa
lagi mahu dijual kepada pihak asing. Dalam konteks berkaitan, orang
Melayu menanyakan, sejauh mana kalangan pemimpin Melayu dalam kerajaan
Pakatan Harapan (PH) boleh disandar harapan?
Apa
hak rakyat kemukakan atau suarakan segala tuntutan ini? Jawapannya
ialah mereka sebenarnya telah membuat pilihan, baik memilih tokoh
mahupun parti politik pada PRU-14 lalu untuk menerajui negara. Mereka
terpesona dengan janji. Dan mereka terpengaruh dengan segala tuduhan.
Menerusi sistem demokrasi berparlimen, mereka telah membuat pilihan.
Dan
rakyat pun bertanya: “Bagaimana kami boleh meyakinkan diri kami bahawa
kami tidak membuat pilihan yang kurang tepat pada PRU-14 lalu?”
Pesanan dalam bidalan Melayu, beringat-ingatlah sebelum kena, berjimat-jimatlah sebelum habis!
*DATUK SAYUTI MUKHTAR ialah penganalisis sosiopolitik tanah air.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan