Rabu, 31 Julai 2019

Pergolakan politik uji ketabahan pendokong PH

Oleh Zin Mahmud



Pendokong Pakatan Harapan (PH) yang tidak berparti pasti kecewa dengan pergolakan politik sepanjang minggu lalu membabitkan Anwar Ibrahim, Azmin Ali dan mengheret sama Mahathir Mohamad.

Ia berlaku dalam keadaan misi PH sendiri belum sempurna selesai. Baru setahun lebih tentunya kerajaan PH tidak dapat menyelesaikan perkara yang diharapkan oleh kebanyakan pengundi. Usaha menentang rasuah masih berjalan. Perbicaraan berkait dengan kleptokrasi juga masih berlangsung. 
 
Banyak azam manifesto belum dapat dilaksanakan. Reformasi juga belum bergerak walaupun banyak perkara dicapai dan disempurnakan kerajaan PH.

Dalam pada itu, pihak yang menentang PH pula bukan saja bebas tetapi terus meningkatkan asakan. Malah bekas perdana menteri yang sedang dibicarakan dilantik sebagai penasihat partinya. Sementara presiden Umno yang sedang dibicarakan kembali daripada cuti. Umno pula mengukuhkan kerjasama dengan PAS kerana percaya pada kejayaan yang bakal melalui strategi ini. Gabungan Umno dan PAS ini dinamakan Lim Kit Siang sebagai klepto-teokrasi. Suatu istilah menarik yang boleh dihuraikan pada kesempatan lain.
 
Tetapi apa yang berlaku dalam Umno dan PAS itu tidaklah mendatangkan perasaan puas hati pada semua penyokongnya. Kembalinya Najib Razak dan Zahid Hamidi berperanan menimbulkan rasa tidak selesa dalam sebahagian penyokong parti itu. Reaksi Nazri Aziz dan Khairy Jamaluddin mencerminkan sentimen ini. Begitu juga dalam kalangan pendokong PAS. Pastinya ada yang masih berasa curiga terhadap Umno.

Namun pergolakan politik paling besar tetap pada apa yang berlaku dalam PKR. Persaingan antara Anwar dan Azmin pula hanyalah sambungan kepada pertelagahan Mahathir-Anwar. Walaupun secara rasminya, situasi politik Mahathir dan Anwar adalah baik, dengan penegasan perjanjian peralihan kuasa di antara keduanya pasti berlaku tetapi manuver siasah yang kelihatan menunjukkan suatu pergolakan sedang berlaku, dan bukannya sekadar spekulasi.

Keadaan ini pasti mendatangkan kekecewaan kepada banyak pendokong PH terutamanya yang secara khusus bukan menjadi penyokong mana-mana parti apatah lagi kepada pemimpin tertentu seperti Mahathir, Anwar atau Azmin.

Walaupun terdapat banyak penyokong Mahathir, yang turut menyumbang kepada kemenangan PH pada pilihan raya lalu tidaklah semua merupakan penyokong PPBM atau mana-mana parti PH. Malah ada antara mereka merupakan penyokong Umno sebelum ini.

Selepas setahun berlalu, ada antara mereka kecewa dengan kerajaan PH. Sebilangan mereka tidak pernah pun menyokong PKR dan DAP. Mereka juga tidak pernah menyokong PAS atau penggantinya dalam PH iaitu Amanah. Tetapi mereka yakin pada Mahathir dan menyokong kerajaan PH kerana beliau. Terhadap menteri-menteri lantikan Mahathir pula, ada kala mereka menyuarakan suara-suara sinis.

Namun mereka tentu sedar, Mahathir tidak akan menjadi perdana menteri untuk waktu lama. Lambat laun kepimpinan kerajaan PH akan diserah pada orang lain, khususnya Anwar, suatu keadaan yang tidak mereka harapkan sangat. Maka tiba-tiba dirasakan tiada siapa yang layak menjadi pengganti Mahathir.

Kekecewaan pendokong PH dipercayai terserlah dalam pelbagai bentuk. Reaksinya juga berbeza dalam kalangan Melayu dan bukan Melayu. Orang bukan Melayu umumnya kelihatan padu menyokong PH. Untuk itu pada pilihan raya lalu, mereka juga boleh dikatakan padu menyokong Mahathir. Walaupun sebahagian besar hanya menjadi penyokong Mahathir selepas beliau menyertai PH. Sebahagian pula penyokong DAP dan mereka menyokong Mahathir kerana parti itu berbuat demikian. Mereka inilah juga menyokong Anwar semasa adanya Pakatan Rakyat dan sebelum itu, Tengku Razaleigh Hamzah ketika zaman Gagasan Rakyat.

Buat masa ini, DAP tetap teguh dengan Mahathir dan Anwar. Maka begitu juga pendirian sebahagian pendokong DAP, walaupun mereka juga bukannya pendokong Mahathir dan Anwar. Malah ada juga bukan Melayu yang bukannya penyokong DAP. Mereka penyokong PH kerana ia bukan Umno.

Penyokong PH daripada orang Melayu lebih berbagai ragam. Tetapi asas dan asal kekuatan PH adalah pada parti Melayu yang menentang Umno. Maka asasnya terletak pada Amanah dan sebahagian penyokong PKR yang menentang Umno lama sebelum penubuhan parti itu, iaitu ketika sebahagian mereka anggota PAS dan Parti Rakyat Malaysia. Walaupun golongan ini tegar menentang Umno tetapi bilangannya tidak cukup kuat untuk menumbangkan BN.

Kekuatan mereka bertambah setelah adanya PKR. Penyokong-penyokong Anwar yang asal menjadikan gerakan menentang Umno begitu besar. Walaupun tidak berjaya menggugat BN sebelum 2008, tetapi ia tetap dapat menyediakan suatu platform besar bagi sesiapa yang akhirnya mampu menumbangkan kekuasaan Umno.

Tetapi PKR tidak asing dengan pergolakan politik dalaman walaupun ketika ia hanya parti pembangkang tanpa kuasa. Bagi mereka yang masih ingat, Chandra Muzaffar pun pernah menjadi timbalan presiden yang disingkirkan pada awal penubuhan parti itu.
 
 Namun perpecahan serius hanya kedengaran selepas pilihan raya umum tahun 2008 ketika mana PKR mula mempunyai kuasa di peringkat negeri, khususnya Selangor. Orang ramai mula mendengar adanya kumpulan penyokong Wan Azizah Wan Ismail dan kelompok Azmin. Anwar yang berada di penjara tidak terheret dengan pergolakan itu.

Maknanya fenomena Azmin sebagai ketua kelompok muncul dalam PKR lama sebelum penyertaan Mahathir ke dalam PH. Ia juga tidak jelas kelihatan ketika PH sibuk berkempen untuk menumbangkan BN menjelang pilihan raya umum 2018.

Tetapi selepas keputusan pilihan raya umum 2019, muncul spekulasi terdapat usaha untuk menubuhkan kerajaan Umno-PKR dengan membelakangkan bukan sahaja Mahathir dan PPBM tetapi juga harapan pendokong PH yang mahukan BN diketepikan.

Walaupun kemudian BN dapat diketepikan dan kerajaan PH pimpinan Mahathir berjaya ditubuhkan tetapi orang ramai susah diyakinkan bahawa pergeseran antaranya tidak berlaku.

Anwar kemudiannya bukan saja dapat menyandang jawatan presiden PKR tetapi juga mampu memasuki Dewan Rakyat dan pada bila-bila masa boleh dipanggil untuk menjadi perdana menteri menggantikan Mahathir.

Tetapi di sebalik senyuman Mahathir dan janjinya untuk berundur supaya digantikan dengan Anwar, ternyata manuver politiknya meragukan banyak pendokong presiden PKR itu.

Daripada pelantikan Azmin sebagai menteri hal ehwal ekonomi hinggalah kepada pelantikan Latheefa Koya sebagai ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM), Mahathir memberi satu isyarat yang penyokong PKR tidak boleh tidak endahkan. Lebih-lebih lagi penyokong-penyokong Azmin berjaya menguasai pemilihan parti itu. Sementara Mahathir pula terus menerima ahli Umno untuk menyertai PPBM.

Para penyokong PH tanpa parti hanya melihat pergolakan itu dengan kecewa kerana bimbang ia akan menjejaskan kerajaan PH dan segala harapan yang diletakkan padanya. Tetapi apakan daya realiti politik kepartian sebegitu rupa. Ia sesuatu yang tidak boleh dielakkan tetapi boleh dikurangkan mengikut azam pelaku-pelakunya.

Karenah ahli politik adalah cermin masyarakat jua. Namun idealisme yang disokong oleh pendokong PH melangkaui mana-mana ahli politik sama ada Mahathir, Anwar mahupun Azmin. 
 
 

Tiada ulasan: