Jumaat, 26 Julai 2019

DAP cuba beri kerakyatan belakangkan undang-undang?

siti hafidah  
 
PAS desak KDN untuk dedah perbincangan dengan pemimpin DAP
BANGI– PAS hari ini mendesak Kementerian Dalam Negeri (KDN) mendedahkan butiran perbincangan dalam pertemuan membabitkan enam pemimpin DAP di pejabat kementerian itu baru-baru ini.

Ketua Penerangan PAS, Kamaruzaman Mohamad berkata, perbincangan itu sewajarnya dibuat secara terbuka kerana membabitkan kepentingan semua rakyat Malaysia.

“Pendedahan berkenaan perbincangan mengenai isu-isu kerakyatan ini disertai Lim Guan Eng, M Kulasegaran, Hannah Yeoh, Teo Nie Ching dan Datuk Ngeh Ko Ham yang masing-masing juga menteri dan timbalan menteri Kabinet kecuali Ngeh.

“Soalnya, jika tiada agenda tersembunyi, kenapa hanya pemimpin DAP? Hal itu sememangnya meragukan, kerana agenda ini sewajarnya dibincangkan (secara) terbuka dengan dianggotai oleh semua kaum,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, Kamaruzaman berkata, pendedahan yang dibuat menggambarkan seolah-olah wujud satu cubaan oleh pihak DAP untuk memberikan kerakyatan melalui proses yang membelakangkan undang-undang negara dan bersifat terpilih .

Katanya, situasi ini menimbulkan kebimbangan betapa hak rakyat negara ini terancam oleh pemberian kerakyatan secara rundingan tertutup dan bersifat terpilih ini.

“PAS, bahkan mungkin banyak pihak lain tentunya merasa sangsi dengan perkembangan ini dan penjelasan segera perlu diberikan kerana ia membabitkan masa depan dan kedaulatan negara.

“Maka dengan ini PAS menuntut supaya Kementerian Dalam Negeri dan Perdana Menteri bertegas terhadap tuntutan ini dan menolak sebarang tuntutan yang membelakangkan peraturan negara.

“Selain itu, diadakan satu jawatankuasa untuk menyiasat secara menyeluruh dan mengambil tindakan tegas sekiranya terhadap satu usaha kotor oleh mana-mana pihak dalam memberikan kerakyatan melalui saluran dan proses yang melanggar peraturan negara,” katanya.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Lanang, Alice Lau dalam catatan di laman Facebooknya telah memuatnaik beberapa fotonya bersama beberapa lagi Ahli Parlimen DAP dengan kapsyen ‘mengadakan pertemuan dengan Muhyiddin bagi membincangkan beberapa isu kewarganegaraan’.

Turut bersamanya di dalam gambar berkenaan ialah Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham, M Kula Segaran (Ipoh Barat), Hannah Yeoh (Segambut), Lim Guan Eng (Bagan) dan Teo Nie Ching (Kulai).

Alice Lau turut mendakwa bahawa pertemuan itu membuahkan hasil.


Tiada ulasan: