Khamis, 25 Julai 2019

Hentilah menunggang agama demi kepentingan politik

Muhammad Firdaus bin Zalani

 

Berhati-hati dalam memberi kefahaman syarak kepada masyarakat

APA yang ‘mereka’ maksudkan dengan siyasah shar’iyyah adalah perkara ijtihadi?

1. Kalaulah yang dimaksudkan ialah sebahagian besar perkara dalam siyasah bersifat ijtihadi, memang perkara itu jelas dan boleh dikatakan seluruh ulama siyasi terdahulu serta hari ini telah lama berpandangan sedemikian. Ini kerana sifat siyasah itu sendiri yang berbicara soal menggapai maslahat dan menolak mafsadah yang sentiasa berubah-ubah melihat kepada zaman, keadaan atau manusia adalah perkara asasi yang disepakati ulama. Namun perkara ini perlu dibaca bersama bahawa:
 
a. Wujudnya ruang ijtihadi dalam siyasah tidak menafikan wujudnya juga ruang tsawabit (kekal) yang ada dalam siyasah. Hal ini juga banyak dibicarakan oleh ulama terdahulu hinggalah ke hari ini.
Sebahagian mereka telah menyimpulkan tsawabit tersebut kepada tiga perkara iaitu siyadah al-shariah (kedaulatan syarak), al-‘adl (keadilan) dan shura. Oleh itu dalam berbahas ruang ijtihad tersebut, perlu juga dipertegaskan ruang tsawabit tersebut barulah seruan yang dibawa itu seimbang.

b. Konsep ijtihad dalam syarak bukanlah longgar terus tanpa sebarang keterikatan. Asas wujudnya ruang ijtihad ini sendiri oleh kerana tiadanya dalil khusus yang membicarakan sesuatu isu tersebut maka terdapat ruang untuk ijtihad.

Namun walaupun tiada dalil khusus ini tidak bermaksud pandangan itu boleh dikeluarkan secara semberono, kerana dalam syarak terdapat juga dalil kulli serta ruh-ruh syariat itu sendiri yang perlu dijadikan panduan dalam membuat ijtihad. Ijtihad tanpa perkara ini hakikatnya bukanlah ijtihad kerana ia adalah pandangan berdasarkan akal dan hawa nafsu semata-mata. Begitu jugalah sepatutnya ‘ijtihad siyasi’ difahami.

c. Asas ruang dalam ijtihad juga bukanlah berdasarkan pembahagian ilmu. Bukanlah apabila sebut perkara itu adalah fiqh maka bebas berijtihad dalamnya. Ulama jelas meletakkan ruang ijtihad itu adalah dengan melihat pada dilalah nas (apa yang dimaksudkan daripada nas tersebut), jika nas tersebut bersifat qatie dilalah (jelas apa yang nak dimaksudkan) maka tiada ruang ijtihad di dalamnya kerana apa yang dimahukan drpd nas tersebut telah jelas, namun jika ia tidak jelas barulah wujud ruang ijtihad. 

Jadinya pandangan simplistik bahawa sebab siyasah dalam fiqh maka bebas ijtihadi dalamnya adalah satu fahaman yang sangat-sangat bahaya yang boleh merosakkan masyarakat dan syariat itu sendiri.

2. Tetapi kalaulah yang dimaksudkan siyasah itu langsung tidak terikat dengan syarak maka ia adalah satu pandangan yang sangat jauh daripada kefahaman asas Islam itu sendiri. Kalaulah yang dimaksudkan sebegini maka ia adalah seperti pandangan sesat Ali Abdul Raziq menyifatkan tiadanya siyasah dalam Islam yang mana pandangan ini telah ditolak oleh seluruh ulama Islam. 

Kalaulah ini yang dimaksudkan maka ia adalah fahaman yang selari dengan sekular Barat yang membuang peranan agama dalam berpolitik. Kalaulah ini yang dimaksudkan hilanglah sifat ‘shar’iyyah’ yang diletakkan bersama dengan istilah siyasah. Saya amat berharap bukan ini yang dimaksudkan.

3. Asasnya, kalimah syahadah (tauhid) itu sendiri memberi gambaran bagaimana berlakunya penyatuan dalam seluruh kehidupan bagi seorang muslim. Pemusatan Allah SWT adalah dalam seluruh hal bermula daripada aqidah membawa kepada nilai/prinsip yang akhirnya melahirkan sebuah sistem kehidupan yang jelas termasuklah dalam hal berpolitik. 

Inilah yang acap kali ditegaskan oleh al-Qardawi dalam kitab al-siyasah al-shariyyah. Tiada istilah berlakunya pertembungan antara pandangan siyasi dengan pendirian syarak (nas) yang telah jelas. Ini kerana siyasah itu sendiri akan sentiasa berdiri atas asas syarak yang secara hakikatnya akan memberi maslahat kepada manusia secara pasti (maslahat mu’tabarah).

Bahkan konsep maslahat dan mafsadah yang dibincangkan dalam siyasi itu sendiri adalah berdasarkan kayu ukur syarak, bukan apa yang ‘rasa-rasa’ betul atau ‘rasa-rasa’ salah. Bahkan Abu Zuhrah sendiri menyebutkan:

المصلحة كما ترى لا تقف أمام نص قطعي
Maslahat yang engkau rasakan tidak mungkin berdiri (menolak) nas-nas qatie (telah jelas)

Nasihat saya, berhati-hatilah dalam memberi kefahaman syarak kepada masyarakat. Janganlah nafsu pertelagahan kita dalam hal politik dibawa sehingga merungkai asas-asas syarak dan siyasah shar’iyyah yang akhirnya akan merosakkan kefahaman masyarakat. Perkara sama yang mereka sering katakan pada orang lain sepatutnya menjadi cermin kepada diri sendiri
“Berhentilah menunggang agama untuk kepentingan politik”

 *Muhammad Firdaus bin Zalani, Ahli Majlis Ulama ISMA (MUIS)


Tiada ulasan: