HARAKAHDAILY
BALIK PULAU: PAS
tegas menolak sama sekali projek Tambakan Selatan Pulau Pinang (PSR) dan
mahu ianya dibatalkan terus atas kesan buruk yang bakal terjadi ke atas
alam sekitar, rakyat dan negara.
Ketua Penerangan PAS Pusat,
Kamaruzaman Mohamad berkata, PAS sama sekali tidak menolak pembangunan,
tetapi PSR bukan keperluan rakyat dan negara, bahkan berisiko muncul
pelbagai masalah.
Menurutnya, aspek paling ketara, PSR
akan memusnahkan habitat dan menyebabkan gangguan besar kepada ekosistem
laut, selain mengundang pelbagai pencemaran alam dan muka bumi.
"Aspek lain, sosio-ekonomi penduduk,
terutama para nelayan akan terjejas dengan teruk di mana sangat besar
kemungkinan mereka tiada lagi lokasi penangkapan hasil laut, sekali gus
hilang sumber pendapatan.
"Aspek paling memudaratkan adalah
terhadap demografi penduduk di mana yang miskin tidak mengira bangsa
akan terpaksa berpindah keluar kerana tanah diambil dan menjadi sangat
mahal," ujar beliau.
Kamaruzaman berkata demikian ketika
membuat tinjauan di lokasi PSR dengan menaiki bot nelayan bersama
Pesuruhjaya PAS Negeri Pulau Pinang, Ustaz Muhammad Fauzi Yusoff di
Teluk Kumbar, di sini kelmarin.
Maklumnya, PAS juga menyatakan
sokongan kepada semua individu, NGO dan parti politik yang telah, sedang
dan akan menggerakkan bantahan projek ini di mana PAS juga akan
menggembleng kekuatan solidariti.
Beliau dalam tinjauannya itu sempat
bertemu beberapa nelayan yang sedang menangkap ikan dan udang di situ di
mana telah meluahkan rasa kesal mereka dengan tindakan pemimpin menipu
rakyat.
"Mana kami nak cari makan lepas ni?
Jadi pemimpin politik kerajaan, kami bagi amaran, jangan menipu rakyat!
Kami ajak semua rakyat tolak pemimpin penipu rakyat," ujar nelayan
tersebut.
Suara tersebut berikutan pengurangan
bantuan sara hidup kepada nelayan, selain janji dimungkiri Presiden PKR,
Dato' Seri Anwar Ibrahim yang bertemu nelayan minggu sebelum ini
kononnya mahu membela mereka.
Jelas nelayan, kawasan laut di
perairan tersebut merupakan 'lubuk' udang yang memberi mereka hasil
tidak kurang RM100 sehari, namun projek PSR nanti akan melenyapkan semua
khazanah tersebut.
Terdahulu, warga nelayan yang disokong
banyak NGO telah dua kali turun mengadakan demonstrasi bantahan
terhadap projek PSR di Parlimen semasa Sidang Dewan Rakyat, awal bulan
ini.
Turut serta pada tinjauan tersebut
adalah Ketua Penerangan PAS Pulau Pinang, Ir Ahmad Rafaie Dato' A Rashid
dan Ketua Penerangan Pemuda PAS Pulau Pinang, Ahmad Safuan Ujar. - HARAKAHDAILY
Tiada ulasan:
Catat Ulasan