Jawatankuasa Penasihat Pendidikan Masyarakat India diwujudkan
KUALA LUMPUR
– Kementerian Pendidikan sedang mengkaji keperluan untuk menubuhkan
Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Tamil bagi meningkatkan tahap
pendidikan masyarakat India.
Timbalan Menterinya Teo Nie Ching
berkata, kementerian itu telah menubuhkan Jawatankuasa Penasihat
Pendidikan Masyarakat India bagi meneliti lanjut perkara itu.
“(Cadangan ini) memerlukan kajian yang teliti dan holistik supaya penyelesaian jangka masa panjang dapat diperoleh.
“Penelitian yang ekstensif ini akan
merangkumi pelbagai aspek penting seperti kriteria standard, unjuran
murid, perundangan dan kemampuan kewangan kerajaan,” katanya di Dewan
Negara hari ini.
Beliau menjawab soalan Senator Datuk T.
Mohan yang ingin tahu status pembinaan SMJK Tamil pertama di Malaysia,
yang dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan Persekutuan seperti mana yang
terkandung dalam Janji ke-lima: Iltizam khusus Pakatan Harapan untuk
masyarakat India.
Teo berkata, kerajaan juga akan mengambil
kira pandangan dan cadangan pelbagai pihak berkepentingan khususnya
daripada masyarakat India dalam kajian itu.
Tambahnya, penubuhan sesebuah sekolah
menengah tertakluk kepada peruntukan di bawah Seksyen 30 dan 31 Akta
Pendidikan 1996 (Akta 550). -Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan