Tuesday, July 2, 2019

Mana integriti Kit Siang selepas membisu isu forex, kata Najib



PETALING JAYA: Najib Razak mempersoalkan dakwaan Lim Kit Siang mengenai integriti dirinya, mengatakan pemimpin DAP itu berdiam diri selepas kerajaan tidak akan mengambil tindakan lanjut ke atas dapatan Suruhanjaya Siasatan Diraja berhubung skandal forex 1990-an.

Bekas perdana menteri itu berkata Lim selama bertahun-tahun menuduh ada skandal di sebalik kerugian RM31.5 bilion yang ditanggung Bank Negara Malaysia (BNM) dalam urus niaga mata wang asing pada 1992 hingga 1994.

“‘No Further Action’ tanpa sesiapa perlu bertanggungjawab ke atas kehilangan dana ini,” katanya di Facebook.

“Satu sen pun tak dapat kembali. Satu sen aset pun tak ditinggalkan. Lim pula membisu seribu bahasa. Buat-buat tak nampak.”
Najib kemudian memuatnaik gambar tertera “The Bank Negara RM30 Bilion Forex Losses Scandal” berserta nama Lim, mengatakan pemimpin DAP itu pernah menulis dan menjual buku mengenai peristiwa itu.

Beliau berkata jika Lim mendakwa dirinya ada integriti, adakah dia akan meminta maaf kepada pembaca bukunya, atau mengaku sudah terlupa mengenainya.

“Bertahun-tahun Lim tuduh ada skandal dan mendesak RCI dijalankan. Sekarang hasil RCI dah ada. Bukan sebarang siasatan tapi yang menyeluruh, telus dan terbuka, di mana prosiding setiap hari dilaporkan dengan meluas.

“Tapi kerajaan Pakatan Harapan tak teruskan tindakan ke atas keputusan RCI itu,” katanya.

Dalam laporan setebal 400 muka surat yang dibentangkan di Dewan Rakyat pada 30 November 2017, RCI berkata bekas penasihat BNM, Nor Mohamed Yakcop bertanggungjawab atas kerugian itu.

Ia juga berkata urusan forex berlebihan atau spekulasi boleh dihentikan lebih awal dan kerugian ditanggung akan berkurangan atau terkawal, jika Daim Zainuddin, menteri kewangan dari 14 Julai 1984 hingga 15 Mac 1991, lebih bertanggungjawab dan menjalankan penyeliaan lebih teliti.

RCI turut mengesyorkan polis menyiasat Dr Mahathir Mohamad, perdana menteri ketika itu, Anwar Ibrahim, yang menggalas portfolio kewangan selepas Daim, ahli lembaga pengarah BNM, Jabatan Audit Negara dan Kementerian Kewangan.

Awal hari ini, veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah berkata kerajaan bertanggungjawab untuk melaksanakan syor-syor RCI.

No comments: