Sabtu, 25 Mei 2019

Tidak semua 44 barang kemas dalam jagaan polis - peguam firma Lebanon

MALAYSIAKINI

   

Sebuah firma barang kemas dari Lebanon, yang menyaman isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor berhubung 44 barang kemas mendakwa bahawa tidak semua barang kemas berkenaan berada dalam penjagaan pihak berkuasa.

Global Royalty mengemukakan saman terhadap Rosmah pada 26 Jun tahun lepas, meminta dipulangkan 44 barang kemas yang dihantar kepada beliau untuk memilih atau membayar harga kesemua barang berkenaan yang berjumlah AS$14.79 juta atau hampir RM60 juta.

Peguam Datuk David Gurupatham, mewakili firma barang kemas itu, Global Royalty Trading SAL, memberitahu pemberita bahawa plaintif (Global Royalty) telah memeriksa barang kemas yang dirampas itu dan ia telah membuat kenyataan kepada polis bahawa tidak semua barang itu ada di situ (dalam penjagaan pihak berkuasa).

“Saya tidak boleh beritahu berapa banyak yang ada kerana kami belum mengemukakan dokumen yang perlu. Sebaik kami kemukakan barulah kami dapat menjelaskan kedudukannya. Jadi ini perlu ditentukan,” katanya ketika ditanya berapa banyak barang kemas milik pelanggannya berada dalam penjagaan pihak berkuasa.
Gurupatham berkata, oleh itu pelanggannya memohon untuk menjadi perantara dalam saman pelucuthakan kerajaan ke atas barang kemas itu yang dirampas, di hadapan hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan.

“Kami telah menulis kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk meminta butiran saman pelucuthakan itu. Mereka telah menjawab dan kini kami akan mencelah untuk tindakan.

“Kami akan mengesahkan sama ada barang kemas itu ada di situ dan apa yang tidak ada. Kemudian barulah kami akan meneruskan dengan perbicaraan,” katanya kepada pemberita selepas perkara itu timbul untuk pengurusan kes di hadapan hakim Mahkamah Tinggi, Wong Chee Lin.

Beliau juga berkata, mahkamah menetapkan 17 Sept dan dari 21-24 Okt untuk perbicaraan bagi saman dan 19 Ogos untuk pengurusan kes.

Pada 7 Mei, AGC telah mengemukakan satu notis pelucuthakan bagi beratus barang termasuk beg tangan berjenama dan 27 kenderaan dirampas daripada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, isterinya Datin Seri Rosmah Mansor, tiga anak mereka dan 13 individu dan syarikat dan kes berkenaan ditetapkan bagi pengurusan kes pada 8 Julai di hadapan Hakim Mohamed Zaini.

Pada 14 Feb lepas, Mahkamah Tinggi mengarahkan Rosmah untuk memeriksa dan mengesahkan dalam tujuh hari akan kewujudan 44 barang kemas yang dalam miliknya tetapi didakwa dirampas oleh polis.

Dalam samannya, Global Royalty mendakwa bahawa pada 10 Feb, 2018, mereka menghantar 44 barang kemas termasuk rantai berlian, subang, cincin, gelang tangan dan tiara, yang setiap satu bernilai antara AS$124,000 dan AS$925,000 kepada defendan dengan serahan tangan menerusi dua ejen.
Menurut syarikat berkenaan, semasa penghantaran itu, Rosmah mengesahkan dan menerima syarat-syarat serta peraturan dalam Memorandum No. 926 berhubung dengan barang kemas.

Ia juga mendakwa bahawa Rosmah, dalam surat bertarikh 22 Mei, 2018, juga mengesahkan dan memaklumkan menerima barang kemas berkenaan tetapi berkata semua barang kemas itu tidak lagi dalam pemilikannya, dan ia telah dirampas dan kini disimpan oleh pihak berkuasa Malaysia.

Global Royalty memohon pengisytiharaan mahkamah bahawa firma itu adalah pemilik kepada 44 barang kemas itu selain daripada perintah itu bahawa pemilikan ke atas barang kemas berkenaan selain arahan bahawa pemilikan barang kemas itu tidak dipindahkan kepada defendan.

Ia juga memohon satu arahan mandatori kepada Rosmah agar menyediakan satu senarai barang kemas yang dirampas, agar barang kemas itu dikembalikan atau Rosmah perlu membayar barang kemas itu bernilai AS$14.79 juta (RM59.83 juta).- Bernama


Tiada ulasan: