Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman digesa berhenti daripada bermain politik dengan emosi keterlaluan terutamanya melibatkan isu kerajaan Persekutuan dan Istana Johor.
Dewan Muda Johor (DMJ) melalui kenyataan berkata tindakan Syed Saddiq yang tidak melepaskan peluang mengecam dan memandang serius video viral Tunku Mahkota Johor yang dilihat hanya berseloroh dengan peminatnya hanya menambah keruh keadaan.
“DMJ melihat perangai Syed Saddiq seperti ‘kebudak-budakan’ dan terlalu mengikut emosi, ia adalah suatu perkara yang sangat merugikan negeri Johor dan Malaysia.
“Kepada Yang Berhormat Syed Saddiq, berhentilah berpolitik seperti itu, kenyataan yang dibuat tidak akan menguntungkan rakyat tetapi lebih membawa kepada perpecahan di antara rakyat,” ujar DMJ melalui kenyataan pada Isnin.
Dalam perkembangan sama, DMJ berkata Syed Saddiq seharusnya memberi penekanan terhadap usaha meningkatkan prestasi sukan negara berbanding menyerlahkan sikap tidak matang beliau.
“DMJ juga ingin membidas kenyataan dibuat Syed Saddiq, pertama, dalam situasi hari ini, tidak semestinya semua rakyat bersama Dr. Mahathir, rakyat memilih Pakatan Harapan (PH) kerana janji dan manifesto yang sangat menarik dan tidak mampu ditolak oleh majoriti rakyat.
“Kedua, di Malaysia bukan sahaja mengamalkan demokrasi berpelembagaan tetapi juga Raja Berpelembagaan, maka sebagai rakyat, Ahli Parlimen dan berjawatan Menteri seharusnya memelihara dan menghormati Institusi Diraja seperti termaktub di dalam perlembagaan.
“Ketiga, TMJ meletakkan jawatan sebagai Presiden FAM sebagai mengambil tanggungjawab atas kejatuhan ranking Harimau Malaya pada ketika itu dan adalah sangat tidak adil membandingkan situasi itu dengan Perdana Menteri yang memimpin negara,” tegas DMJ.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan