Isu Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) merupakan lambang penipuan terbesar kerajaan Pakatan Harapan (PH) kepada rakyat, ujar Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Sufian Hamdan.
Beliau berkata rakyat tidak wajar melupakan bagaimana PH mencanang mengenai isu PTPTN seperti yang terkandung dalam janji manifesto mereka.
“PTPTN adalah lambang penipuan PH yang paling besar sekali. Jangan kita sesekali lupa.
“Kini penipuan tersebut menjadi lebih dahsyat – bukan sahaja segala janji tidak tertunai, tetapi mereka nak menambah lagi tekanan berbanding apa yang dilaksanakan Barisan Nasional (BN) yang saya anggap amat sederhana dan sesuai,” katanya melalui kenyataan media pada Jumaat.
Dalam perkembangan sama, Shahril berkata penipuan tersebut kini dapat dilihat dengan ketara apabila PH mula membayangkan langkah-langkah yang lebih drastik terhadap peminjam PTPTN berbanding kerajaan lama BN sebelum ini.
“Sekarang PH membayangkan langkah-langkah lebih drastik, bukan sekadar mahu menghalang keluar negara, tapi nak juga sekat peminjam memperbaharui pasport dan lesen perniagaan.
“Zaman BN dulu buat dasar untuk menggalakkan pembayaran semula, bukan sehingga mengganggu periuk nasi orang,” ujarnya.
Terdahulu, media melaporkan PTPTN mungkin akan memperkenalkan semula sekatan perjalanan ke luar negara terhadap peminjam yang gagal membayar balik pinjaman jika perkara itu dimahukan orang ramai.
Menurut Timbalan CEO PTPTN, Mastura Mohd Khalid, PTPTN turut melihat beberapa cadangan lain termasuk menyekat peminjam daripada memperbaharui pasport, lesen, cukai jalan dan lesen perniagaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan