Rabu, 1 Mei 2019

'Minta mangsa tampil buat aduan'

Raja Noraina Raja Rahim
 a circuit board: DUA penunggang disyaki melakukan ragut. FOTO Hasriyasyah Sabudin.DUA penunggang disyaki melakukan ragut. FOTO Hasriyasyah Sabudin. rnoraina@hmetro.com.my


“DUA lelaki dilihat menunggang motosikal dan dipercayai meragut mangsa sebelum memecut laju,” kata Pengurus Bangunan Seremban Gateway, Kenneth Chiew, mengenai kejadian ragut di kawasan itu malam tadi.

Beliau berkata, kejadian hanya diketahui selepas ia tular menerusi Facebook (FB) sebelum pihaknya meneliti semula rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

Berdasarkan CCTV, katanya, dua lelaki menunggang dua motosikal berkeliaran di kawasan Seremban Gateway, pada 9.37 malam.

“Mereka kemudian dilihat menunggang melawan arus ke kawasan belakang premis dan ketika itu ada seorang lelaki bersama keluarganya sedang berbual di kaki lima.

“Dua penunggang itu berpatah balik sebelum salah seorang daripada mereka menghampiri lelaki terbabit dan meragut mangsa.

“Mereka terus memecut laju meninggalkan lokasi,” katanya ketika ditemui di Seremban, hari ini.
Kenneth berkata, beliau tidak pasti sama ada suspek berjaya meragut mangsa atau sebaliknya kerana video berkenaan tidak dapat merakam aksi itu dengan jelas.

Menurutnya, belum ada sebarang aduan diterima pihaknya setakat ini.

“Saya berharap mangsa tampil membuat aduan bagi membolehkan kami menjalankan siasatan. Kami juga akan membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.

“Kami amat mengutamakan keselamatan pengunjung dan tidak mahu kejadian sama berulang,” katanya.

Katanya, bangunan berkenaan dilengkapi CCTV dan pengawal keselamatan yang bertugas 24 jam, namun berharap pengunjung juga berhati-hati.

Tiada ulasan: