Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dijangka meminda beberapa undang-undang untuk memperkenalkan semula pilihan raya kerajaan tempatan di parlimen seawal penghujung 2020, kata menterinya Zuraida Kamaruddin.
Ia termasuklah Akta Kerajaan Tempatan 1976 dan akta lain yang relevan, kata Zuraida yang pada Mei 2018 berikrar mengembalikan pilihan raya kerajaan tempatan dalam tempoh tiga tahun.
"Kira-kira tahun depan, penghujung tahun depan atau seawal 2021, saya akan membentangkan pindaan akta-akta berkaitan dengan pilihan raya kerajaan tempatan diadakan.
"Sama ada kita akan buat buat atau tidak, itu soal kedua, kita akan bentang usul akta-akta ini dulu," katanya dalam wawancara bersama media sempena setahun pentadbiran PH.
Menjawab soalan media, Zuraida yang merupakan ahli parlimen Ampang berkata dia tidak pasti sama ada pilihan raya tempatan boleh diadakan lebih awal daripada sasaran.
Menurutnya, perkara itu bergantung kepada keputusan kabinet dan ia belum dibincangkan ketika ini.
Katanya, pihaknya hanya boleh menyediakan kertas kerja kepada kabinet untuk dibincangkan selepas semua maklumat dikumpulkan untuk menggesa pilihan raya kerajaan tempatan.
"Dan kita (kementerian) masih sedang berbincang, mendapatkan maklumat dan maklum balas terhadap semua model (yang diamalkan engara lain). Kita berhubung dengan NGO, semua negeri dan badan (yang berkaitan)," katanya.
Zuraida percaya, selepas mengkaji beberapa model negara lain, termasuk perkadaran perwakilan dan penyertaan, Malaysia akan mampu mempunyai model sendiri.
"Daripada situ, kita akan mencadangkan model yang terbaik untuk Malaysia," katanya.
Kali terakhir Malaysia mengadakan pilihan raya majlis tempatan adalah pada 1963 sebelum digantung pada tahun berikutnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan