Khamis, 23 Mei 2019

‘Mana BSH bulan Mei?’

ainulillia 

Rakyat memerlukan bantuan untuk persiapan menyambut Aidilfitri


BANGI– Dewan Pemuda Ikatan Malaysia menggesa kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk membuat pembayaran Bantuan Sara Hidup (BSH) secepat mungkin seperti mana yang dijanjikan memandangkan kini sudah berada di penghujung bulan Mei.

Ketua Pemudanya, Shahir Adnan berkata, Kerajaan PH perlu ingat bahawa masih berbaki tujuh hari lagi untuk membuat pembayaran BSH kepada rakyat.

Ini kerana, katanya, bantuan BSH ini sepatutnya dijadualkan dibayar kepada rakyat yang terpilih melalui tiga fasa, pada bulan Januari, Mei dan Ogos 2019.

Justeru, katanya, di saat majoriti rakyat Malaysia bakal menyambut Aidilfitri pada awal bulan Jun, sememangnya pembayaran BSH pada bulan Mei sekurang-kurangnya akan meringankan beban rakyat yang memerlukan.

“Adakah kerajaan lupa tentang janji pembayaran BaSaH kepada rakyat pada bulan ini? Ataupun adakah kerajaan pura-pura lupa dan Najib Razak bakal dipersalahkan lagi?

“Dewan Pemuda Ikatan Malaysia menggesa kerajaan bersikap timbang rasa kepada rakyat dengan mempercepatkan bantuan BaSaH agar rakyat sekurang-kurangnya dapat mengukir senyuman di hari raya nanti,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Shahrir berkata, gesaan pihaknya itu dibuat setelah satu persatu pengumuman dibuat Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bahawa tiada bonus untuk golongan peneroka dan petani di Felda dan Felcra.

“Bayangkan di saat harga sawit dan getah jatuh merudum, jualan yang tidak seberapa menyebabkan seluruh peneroka dan petani terpaksa mengikat perut untuk hidup. Bonus pula tidak diberikan oleh kerajaan Pakatan Harapan. Harapan terakhir mereka adalah bantuan BaSaH yang dijanjikan.

“Jangan hancurkan harapan mereka, seperti dihancurkan harapan-harapan lain yang dijanjikan di dalam Manifesto Harapan ‘bukan kitab suci’,” katanya.


Tiada ulasan: