Jumaat, 3 Mei 2019

Isteri Musa Hassan meninggal dunia

Bernama  

   

Isteri kepada bekas Ketua Polis Negara yang kelapan, Musa Hassan meninggal dunia di kediamannya di Jalan Chawan, Seksyen 6/15, Petaling Jaya malam tadi.

Perkara berkenaan disahkan oleh Musa melalui laman Twitter rasminya.

“Terima kasih atas ucapan takziah dan doa untuk arwah isteri saya yang telah pulang ke Rahmatullah pada 10.17 malam tadi,” katanya ringkas.

Sementara itu, Sinar Harian melaporkan Allahyarham menyediakan kain kafannya sendiri sebelum meninggal dunia.

Menurut Musa, perkara itu dimaklumkan oleh pembantu rumahnya sebelum Juriah, meninggal dunia malam tadi.

Juriah, 73, meninggalkan empat anak dan sembilan cucu.

Musa berkata, isterinya tidak mempunyai sebarang masalah kesihatan sebelum ini.

"Saya baru lepas membawa isteri menjalani pemeriksaan kesihatan, semuanya ok tak ada masalah.

"Tetapi Selasa lalu, arwah tiba-tiba jatuh ketika hendak mengambil wuduk untuk menunaikan solat Zohor di rumah ini," Musa dilaporkan sebagai berkata.

Menurutnya lagi, selepas dua hari menjalani rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), pakar perubatan meminta kebenaran untuk melakukan pembedahan pada bahagian kepala kerana terdapat kesan darah beku pada otaknya membuatkan bahagian kepala membengkak.

Bagaimanapun, beliau sekeluarga membuat keputusan untuk tidak melakukan pembedahan yang berisiko itu dan membawa arwah pulang ke rumah sementara rawatan susulan dibuat.

Jenazah Allahyarham Juriah Ahmad akan dibawa ke Masjid Sultan Abdul Aziz, Seksyen 3, Petaling Jaya untuk urusan mandi, kafan dan solat jenazah pagi ini, sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Bukit Kiara pada 10.30 pagi ini.


Tiada ulasan: