Khamis, 2 Mei 2019

Hari ke-12: Orang Pekan sambut Najib


   

Berdepan dengan hukuman penjara, sebatan dan denda Najib Razak sekali lagi akan hadir mendengar tuduhan dan keterangan saksi yang dibawa pihak pendakwaan hari ini.

Perbicaraan berprofil tinggi membabitkan bekas perdana menteri itu memasuki hari yang ke-12 hari ini.

Didengar hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mohd Nazlan Mohd Ghazali, Najib menghadapi tujuh tuduhan salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram membabitkan dana RM42 juta.

Teruskan mengikuti perbicaraan itu yang dibuat secara langsung oleh Malaysiakini di sini.

LANGSUNG

10.23 pagi: Najib memasuki kandang tertuduh untuk membolehkan perbicaraan bermula di depan hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali.
 
10.08 pagi: Najib Razak memasuki mahkamah. Beliau menggunakan kesempatan masa yang ada sebelum perbicaraan bermula untuk bersalaman dengan seorang anggota polis yang bertugas di situ.
Sebelum itu beliau hadir di mahkamah lain yang tidak jauh dari situ untuk mendengar permohonan pendakwaan berhubung kes 1MDB.

Di depan hakim Collin Lawrence Sequerah pihak pendakwaan meminta perbicaraan mengenai tuduhan ke atas Najib berkaitan syarikat pelaburan milik penuh kerajaan, 1MDB, ditunda agar ia tidak bertembung dengan kes SRC yang didengar di depan hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

9 pagi: Najib Razak kelihatan tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.

Tidak seperti selalu, hari ini ada 40 orang penyokong menunggu beliau di depan pintu masuk bangunan tersebut.

Kumpulan terbabit mendakwa datang dari Pekan untuk memberi sokongan kepada anggota parlimen mereka.

Ringkasan kes Najib berhubung dana SRC RM42 juta

Najib Razak berdepan 7 tuduhan berkaitan dana RM42 juta melibatkan SRC International, bekas anak syarikat 1MDB

Mengikut jadual perbicaraan hari ini akan bermula dengan Pengurus Unit Pusat Rentas Ambank, Wedani Senen, menyambung keterangannya dalam sesi soal balas peguam bela.

Rentas adalah kependekan kepada Perpindahan Elektronik Masa Nyata Dana dan Sekuriti.

Kelmarin (30 Apr) Wedani mengesahkan dana sebanyak RM4 bilion dipindahkan dari Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) ke akaun SRC International Sdn Bhd (SRC) di Ambank cawangan Jalan Raja Chulan, KL.

Dana itu dipindahkan pada dua tarikh berbeza, masing-masing pada Ogos 2011 dan Mac 2012.

Untuk rekod KWAP ditubuhkan sebagai sebuah badan yang diberi tanggungjawab menguruskan dana untuk manfaat pencen bekas kakitangan kerajaan. ​

Kata Wedani, berdasarkan dokumen Rentas, sejumlah RM2 bilion wan KWAP dipindahkan ke akaun SRC pada 29 Ogos 2011 melalui empat transaksi.

Bagi RM2 bilion lagi was dibawa ke akaun sama pada 28 Mac 2012. Kali ini ia dibuat melalui transaksi tunggal.

Kelmarin juga Mohd Nazlan membenarkan permohonan pendakwaan untuk memulakan perbicaraan pada jam 9.30 pagi bagi membolehkan permohonan mereka - di mahkamah lain - diputuskan.

Ia membabitkan permohonan pasukan pendakwaan untuk menunda perbicaraan Najib dalam kes 1MDB agar ia tidak bertembung dengan prosing yang sedang berlangsung.
Collin Lawrence Sequerah
Keputusan mengenainya akan dibuat hakim Collin Lawrence Sequerah yang mendengar permohonan tersebut di satu lagi mahkamah tinggi Kuala Lumpur.

Sebelum ini perbicaraan Najib untuk kes 1MDB ditetapkan bermula pada 14 Mei.

Perbicaraan sebelum ini turut didedahkan bagaimana salah seorang orang yang dikaitkan rapat dengan Najib, Habibul Rahman Kadir Shah, menerima RM2.5 juta daripada bekas perdana menteri itu untuk menjalankan risikan mengenai keadaan politik semasa.

Menurut saksi pendakwaan ke-23 itu wang tersebut adalah untuk "operasi pertahanan politik."

Peguam Negara Tommy Thomas mengetuai pasukan pendakwaan yang turut disertai 12 timbalan pendakwa raya membabitak Sulaiman Abdullah, V Sithambaram, Manoj Kurup, Ishak Mohd Yusoff, Donald Joseph Franklin, Suhaimi Ibrahim, Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi, Sulaiman Kho Kheng Fuei, Budiman Lutfi Mohamed, Mohd Ashraf Adrin Kamaril, Muhammad Izzat Fauzan, dan Mohd Ashraf Adrin Kamaril.

Najib pula dibela 13 peguam diketuai Muhammad Shafee Abdullah.

Peguam lain yang membela bekas presiden Umno itu Mohd Yusof Zainal Abiden, Harvinderjit Singh, Kamarul Hisham Kamaruddin, Chong Loong Men, Devanandan S Subramaniam, Farhan Read, Wan Aizuddin Wan Mohammed, Rahmat Hazlan, Muhammad Farhan Shafee, Tiara Katrina Fuad, Nur Syahirah Hanapiah, dan Zahria Eleena Redza.


Tiada ulasan: