PELAKON dan pengarah, Datuk Farid Kamil Zahari, hari ini diperintah membela diri oleh Mahkamah Majistret Petaling Jaya, atas pertuduhan menggunakan dadah jenis ganja THC atau Tetra Hydrocannibol, Januari tahun lalu.
Majistret Nor Ariffin Hisham membuat keputusan itu terhadap Farid Kamil, 38, selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie di akhir kes pendakwaan.
Mengikut pertuduhan Farid didakwa menggunakan THC, yang juga dadah terdapat pada ganja di Pejabat Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya 4.30 petang, pada 11 Januari 2018.
Berikutan itu, pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Kes dikendali Timbalan Pendakwa Raya Timbalan Pendakwa Raya Alia Sumayyah Amran manakala Farid diwakili peguam Megat Syazlee Mokhtarom.
Mahkamah kemudiannya menetapkan 15 dan 16 Mei ini bagi tarikh perbicaraan bela diri dari keterangan bersumpah kandang saksi.
Dalam pada itu, mahkamah menetapkan 30 Mei bagi keputusan akhir pendakwaan empat lagi pertuduhan terhadap selebriti itu iaitu dua pertuduhan mendatangkan cedera, menggunakan kekerasan jenayah dan berkelakuan tidak senonoh dengan mengeluarkan perkataan kurang sopan di Balai Polis Trafik Kota Damansara.
Bagi kesalahan itu, Farid Kamil didakwa mendatangkan kecederaan terhadap eksekutif akaun syarikat swasta, Ashraf Ahmad, 35, dan anggota polis, Konstabel Muhammad Nizam Jamaluddin, 24.
Dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya.
Bagi pertuduhan ketiga, tertuduh didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap Mohd Nizam dengan niat menghalang tugas polis yang didakwa mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya.
Bagi pertuduhan keempat, Farid Kamil turut didakwa berkelakuan tidak senonoh dengan mengeluarkan perkataan kurang sopan kepada Mohd Nizam, yang boleh mendatangkan kemarahan dan penghinaan terhadap mangsa.
Dia didakwa mengikut Seksyen 90 Akta Polis 1967, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500 atau maksimum penjara enam bulan atau kedua-duanya.
Sementara itu, Farid Kamil ketika ditemui selepas prosiding, dia menerima keputusan keputusan mahkamah dengan hari terbuka.
“Dengan keputusan ini, peguam saya berpeluang untuk membuat pembelaan dan di situ keadilan akan ditimbang tara dari justifikasi,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan