Ahad, 26 Mei 2019

Bonus Aidilfitri Felda: Kerajaan tidak wajar samakan ‘gaji bulanan’ dengan wang ehsan

ainulillia 

Isu ini jadi kayu ukur keprihatinan kerajaan terhadap nasib peneroka Felda


BANGI– Kerajaan tidak sepatutnya menggunakan alasan akan memberi keutamaan kepada amaun sara hidup dan wang pendahuluan kepada peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) bagi ‘menutup’ isu tiada pemberian bonus Aidilfitri pihak berkenaan.

Menyifatkannya sebagai amat tidak wajar, Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abdul Kadir berkata, pemberian bonus Aidilfitri adalah wang ehsan daripada kerajaan manakala wang sara hidup dan wang pendahuluan pula adalah ‘gaji bulanan’ para peneroka.

“Kerajaan tidak wajar mempertikaikan hak penerimaan gaji bulanan yang sememangnya suatu prosedur bulanan.

“Kenyataan Menteri Hal Ehwal Ekonomi yang mengatakan sehingga kini masih belum diputuskan pemberian bonus Aidilfitri kepada peneroka menunjukkan sikap kerajaan yang tidak prihatin terhadap nasib 11,635 peneroka Felda,” katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut, beliau berkata, isu bonus Aidilfitri ini juga boleh dijadikan kayu ukur keprihatinan kerajaan terhadap nasib peneroka Felda yang semakin terhimpit dengan nilai komoditi sawit yang masih lagi tidak stabil.

“Malah, alasan kerajaan berkenaan keadaan kewangan negara penghalang pemberian bonus Aidilfitri langsung tidak munasabah diguna pakai terhadap para peneroka Felda yang merupakan penyumbang utama kepada pendapatan hasil minyak sawit sehingga mencecah RM80 billion pada tahun lalu,” katanya.

Justeru, Shaharizukirnain menggesa kerajaan agar segera menyalurkan bonus Aidilfitri kepada peneroka dan tidak sama sekali mempertikaikan wang sara hidup serta wang pendahuluan yang merupakan komitmen berpanjangan daripada Kerajaan bukannya wang ehsan Aidilfitri.

“Buktikan keprihatinan Kerajaan hari ini dalam memartabatkan nasib peneroka-peneroka Felda,” katanya.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebelum ini berkata, tiada bonus atau imbuhan sempena Aidilfitri tahun ini kepada peneroka-peneroka Felda sebaliknya kerajaan dalam usaha memastikan pembayaran pinjaman sara hidup dan pendahuluan hasil disalurkan sebelum Aidilfitri.

Azmin berkata, beliau percaya peneroka-peneroka Felda sedia maklum berhubung kedudukan kewangan negara yang menjadi kekangan kepada kerajaan.


Tiada ulasan: