Tidak seperti tahun-tahun yang lalu, peneroka Felda mungkin
tidak akan menerima peruntukan duit raya daripada kerajaan pada kali
ini, maklum Menteri Hal Ehwal Ekonomi Azmin Ali.
Katanya,
ini kerana pentadbiran PH berhasrat memberi keutamaan sumbernya bagi
menyelamatkan Felda melalui rancangan pemulihan bernilai RM6.23 bilion
yang diumumkan baru-baru ini berbanding memberikan bantuan kewangan dan
kebendaan.
"Setakat ini tidak ada, kerana kita nak salurkan dulu pinjaman sara hidup dan juga pendahuluan hasil.
"Saya bertemu dengan Felda minggu lalu, saya mahu pastikan semua wang pinjaman sara hidup dan pendahuluan hasil.
ini mesti disalurkan sebelum hari raya,” katanya selepas majlis berbuka puasa di Surau Jabal Nur di Taman Seri Gombak malam ini.
Menjelaskan lanjut, Azmin berkata kerajaan akan mengutamakan langkah-langkah jangka panjang dalam menyelesaikan masalah Felda.
"Pada ketika ini saya tak mahu berikan sebarang janji kerana untuk mendapatkan RM6.23b pun satu perkara yang amat besar bagi kerajaan kerana beban hutang yang besar.
"Dan kita tak mahu perbelanjaan yang tidak dapat memberi manfaat kepada peneroka Felda.
"Saya kira keutamaan kerajaan ialah utk lihat bagaimana nasib dan kebajikan peneroka ini dapat dibela untuk jangka panjang.
"Maka itu pun kita telah selesaikan dalam kertas putih baru-baru ini yang menelan belanja yang besar, RM6.23 bilion.
"Bagi saya itu keutamaan yang harus diberikan perhatian kerana kita mahu satu penyelesaian yang sustainable, jangka panjang dan bukan secara bagi sedikit-sedikit (piecemeal) dan tidak membantu masa depan peneroka," katanya lagi.
Kertas Putih Felda yang dibentangkan di parlimen bulan lalu mendedahkan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan itu berhutang sebanyak RM12.1 bilion pada 2017.
Tahun lalu, Menteri Kewangan Lim Guan Eng mengumumkan insentif raya sebanyak RM450 kepada 112,635 peneroka Felda.
Sementara itu, semasa era pentadbiran BN pada 2017, perdana menteri ketika itu Najib Razak mengumumkan insentif aidilfitri dan dividen saham Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) berjumlah RM780 kepada 94,555 peneroka Felda.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan