KUALA LUMPUR: Presiden
PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mahu Suruhanjaya Pencegahan
Rasuah Malaysia (SPRM) berlaku adil dengan turut menyiasat parti-parti
politik lain berhubung sumber yang digunakan dalam perbelanjaan mereka
semasa musim pilihan raya.
Beliau mendedahkan sumber yang
diperolehi PAS selama ini adalah hasil sumbangan ahli-ahli PAS yang
datangnya dari duit poket mereka sendiri.
"Kita terbuka untuk disiasat oleh SPRM
dan beri kerjasama. Kita harap siasat juga parti-parti lain, daripada
mana mereka dapat duit?
"Kita sumber kita dari ahli-ahli kita
sendiri kerana di seluruh negara, kita punyai 190 lebih kawasan, sejuta
lebih ahli dan kita mampu buka beribu PASTI termasuk beratus sekolah
swasta.
"Jadi jangan peliklah daripada mana PAS
dapat duit, cuma jelasnya ini duit poket kita sendiri," katanya dalam
satu sidang media di Rusila, Marang, hari ini.
Tambahnya, parti lain seperti DAP dan PAN tidak mempunyai cawangan yang banyak tetapi mampu bertanding dalam pilihan raya.
"Parti lain dari mana sumbernya?
Cawangannya banyak mana? Dia tidak ada cawangan, PAN mana ada cawangan.
DAP mana ada cawangan, dia bertanding begitu je, daripada mana duit dia
dapat, itu kena siasat, bukan siasat kita sahaja tapi siasat semua.
"PAS buka pintu kepada SPRM untuk
siasat, kita mengalu-alukan mereka siasat kerana kita mahu buktikan
parti kita bersih, bahkan sudah cukup kenyataan menteri di parlimen
sebelum pilihan raya umum ke-14 ada soalan di parlimen, berapa orang
ahli parlimen yang disiasat? BN dan Pakatan Harapan disiasat tapi PAS
tak ada," katanya.
Ujarnya, fitnah yang menuduh PAS
menerima RM90 juta sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 itu ternyata gagal
memesongkan hati rakyat apabila fitnah tersebut tidak sedikitpun
menjejaskan kepercayaan rakyat kepada PAS.
Jelasnya, ini dapat dibuktikan apabila
PAS berjaya mempertahankan kerajaannya di Kelantan dan merampas
Terengganu, hampir memenangi Kedah, peningkatan kerusi Dewan Undangan
Negeri di Pahang selain pertambahan kerusi Dewan Undangan Negeri dan
parlimen.
"Sebab itu kita merasakan tidak ada
gunanya kita habiskan masa di mahkamah, apa lagi undang-undang British
dengan undang-undang di sini lain (berbeza).
"Selain itu, kes ini kena bawa atas nama
peribadi tak boleh siasat atas nama parti sedangkan tuduhan mereka
(adalah) kepada parti. Nak bawa di England atas nama parti tak boleh,
kena bawa nama peribadi itu dah berlaku kelainan dah," katanya. - HARAKAHDAILY
No comments:
Post a Comment