Saturday, February 2, 2019

Kita pertahan Islam daripada ancaman kafir: Pemuda Isma

Oleh Siti Fatimah Ishak


BANGI – Pemuda Ikatan Muslimin Malaysia (Pemuda Isma) kesal dengan sikap segelintir golongan minoriti yang menuduh dan menyalahkan institusi pendidikan Islam menjadi punca masyarakat berkelakuan negatif.

Ahli Jawatankuasa Pusat Pemuda Isma, Ustaz Ibrahim Hassan sebaliknya berkata, institusi agama dan subjek berkaitan Islam tidak boleh dipersalahkan kerana mempunyai panel berautoriti dan tenaga pengajar yang berkelayakan, untuk menyampaikan ajaran Islam kepada pelajar.

“Apa yang menjadi masalah ialah golongan minoriti memberi gambaran songsang bahawa Islam agama rahmatan sehingga menganggap semua orang kafir adalah mad’u dan umat Islam tiada musuh.

“Walhal pada masa sama, saban hari wujud golongan kafir yang menghina umat Islam dan mengganggu sensitiviti kita. Pernah kita bising, melainkan mereka yang mulakan dahulu?,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan aktivis Islam liberal, Wan Ji Wan Hussin yang berkata institusi pendidikan Islam di negara ini perlu diubah kerana mengajar perkara salah sehingga membina mentaliti dan kelakuan negatif dalam masyarakat.

Menyelar dakwaan itu, Ustaz Ibrahim berkata, realiti hari ini yang sebenarnya mencorak mentaliti dan sikap orang Islam terhadap pihak lain, khususnya orang kafir.

Katanya, adalah lumrah sekiranya umat Islam berasa terancam dan bertindak mempertahankan Islam seperti yang dituntut oleh syarak.

“Kita tidak mahu umat Islam terpedaya dengan mereka. Kerana golongan minoriti cuba menutup realiti dengan mengatakan bahawa musuh Islam atau kafir tidak wujud.

“Mereka bersungguh-sungguh menafikan peringatan Allah bahawa Yahudi dan Nasrani tidak akan reda sehingga manusia mengikut cara hidup mereka,” katanya.


No comments: