Di sebalik serangan dan kritikan, Timbalan Menteri Luar Marzuki Yahya tetap mempertahankan ijazah pentadbiran perniagaan yang diperolehinya daripada Cambridge International University (CIU).
Dalam kenyataan hari ini, beliau berkata menghabiskan masa selama tiga tahun untuk menamatkan pengajiannya, iaitu pada 2002 hingga 2005.
Beliau turut melampirkan salinan PDF ijazah dan transkrip universitinya.
"Saya memulakan pengajian jarak jauh bersama CIU sekitar 2002, iaitu 17 tahun dulu... Niat saya ketika itu untuk menimba ilmu kotemporari dan terkini mengenai industri perkapalan di negara maju. Harapan saya agar ilmu itu dapat membantu mengembangkan perniagaan perkapalan yang saya usahakan.
"(Ketika itu) Masyarakat Malaysia dan dunia masih belum membincangkan tentang akreditasi universiti secara meluas. Ketika itu belum ada sistem ranking yang terkenal dan tersusun seperti hari ini... Belum ada senarai universiti yang dikatakan 'bogus university'.
"Oleh itu, apabila mengetahui kursus yang ditawarkan CIU berkaitan dengan bidang perniagaan yang saya ceburi, saya mendaftarkan diri tanpa memberi penekanan kepada aspek akreditasi," katanya.
Antaranya gred bagi kesemua sembilan mata pelajaran serta purata nilai gred (GPA) sama dengan transkrip contoh (template) di laman web CIU.
Transkrip itu bagaimanapun tidak kelihatan telah diubahsuai. Analisis Malaysiakini menunjukkan ada tanda ia merupakan dokumen yang dicetak.
Laman web itu pada masa ini tidak dapat diakses ekoran kemungkinan digodam, tetapi laman galeri masih boleh dilayari melalui cache Google.
Selain gred dan GPA yang sama, perincian lain dalam transkrip - iaitu nombor pengenalan pelajar, pengkhususan, tarikh dikeluarkan, dan perincian kursus - berbeza.
Dalam pada itu Marzuki berkata beliau tidak berniat untuk mengelirukan mana-mana pihak berkenaan pendidikannya.
"Saya berharap penjelasan ini dapat meleraikan kekeliruan yang ada.
"Saya menyerahkan kedudukan sebagai timbalan menteri luar dan setiausaha agung Bersatu kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan kepimpinan parti," katanya lagi.
No comments:
Post a Comment