Saturday, February 9, 2019

Faktor kemiskinan punca rakyat S'wak ditahan di Kemboja

MALAYSIAKINI

   

Penahanan 47 rakyat Malaysia oleh pihak berkuasa Kemboja dan status mereka sebagai mangsa pemerdagangan manusia menimbulkan kebimbangan mengenai isu itu.

Dilaporkan seramai 44 daripada 47 rakyat Malaysia berasal dari Sarawak ditahan tanpa bicara di penjara wilayah Kemboja, kata anggota parlimen Julau Larry Sg.

Sebuah kumpulan pemikir tempatan hari ini berkata, kemiskinan menjadi salah satu sebab utama rakyat Sarawak terpaksa meninggalkan negara ini dalam keadaan meragukan.

Dalam satu kenyataan bersama, Pengasas Kumpulan Pemikir Dayak Sarawak, Wellie Henry Majang dan presidennya Elias Lipi Mat berkata, sekurang-kurangnya 10 mangsa adalah wanita muda berusia antara 18 dan 20 tahun.

Mereka menjadi mangsa kepada janji palsu-palsu kononnya akan ditawarkan pekerjaan lumayan dan dibayar gaji dalam dolar AS.

"Kemiskinan di kampung halaman mereka mendorong mangsa untuk mencuba mengubah kehidupan mereka.

"Antara cara yang mereka boleh ambil adalah berpindah ke sebuah negara yang lebih membangun dengan lebih banyak peluang pekerjaan dan untuk ini, mereka akan bekerjasama dengan pihak tertentu," kata kenyataan mereka.

Majang dan Elias begaimanapun berkata, agensi-agensi tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan terhadap mangsa yang terdesak untuk meninggalkan negara ini.

"Sindiket ini bersembunyi di sebalik agensi pengambilan untuk membantu pekerja asing, tetapi mereka akhirnya mengeksploitasi pekerja kerana kelemahan undang-undang.

"Apabila tiba di negara yang dijanjikan, pekerja akan terpaksa bekerja dengan gaji rendah," kata mereka.

Cara mudah untuk kaya

Majang dan Elias berkata pemerdagangan manusia oleh sindiket merentas sempadan terus berkembang kerana ia merupakan cara mudah untuk menjadi kaya.

"Mereka (sindiket pemerdagangan manusia) mengeksploitasi orang-orang yang memerlukan pekerjaan dengan memberi mereka kerja, seperti buruh atau pelacur.

"Keuntungan lumayan telah membutakan mereka untuk mengabaikan hak asasi dan maruah manusia," kata mereka.

Keadaan itu semakin bertambah buruk disebabkan kelemahan penguatkuasaan undang-undang.

"Hukuman yang keras harus dikenakan kepada dalang kegiatan ini dan pihak yang mengupah pekerja melalui sindiket ini. Jelas penguatkuasaan yang lemah adalah faktor yang menyumbang kepada jenayah ini (pemerdagangan manusia)," jelas kenyataan terseut.

Khamis lalu, Wisma Putra mengesahkan seramai 47 rakyat Malaysia kini ditahan di Poipet, Kemboja kerana disyaki terlibat dalam aktiviti perjudian haram dalam talian.

Mereka ditahan pada 11 Disember tahun lepas, tetapi Wisma Putra hanya dimaklumkan mengenai perkara itu secara lisan oleh polis Kemboja pada 28 Disember.

Masih tidak jelas apa pekerjaan yang dijanjikan kepada tahanan di negara itu.

Menteri Luar Saifuddin Abdullah semalam berkata kerajaan akan menjadikan usaha untuk membawa pulang kesemua 47 rakyat Malaysia tersebut sebagai keutamaannya.


No comments: