Friday, February 22, 2019

Apa lebihnya Kit Siang daripada saya? -Najib

Muhammad Azizul Osman

MGF22022019_NAJIB-SOLAT-JUMAAT-UKM13-681x454
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bersama sebahagian mahasiswa mengadakan perhimpunan aman berikutan penangguhan Program Sembang Santai Bersama Bossku selepas menunaikan solat Jumaat di luar Masjid Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, Selangor. foto HAZROL ZAINAL
 
BANGI – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, melemparkan persoalan kepada Kementerian Pendidikan mengenai kelebihan yang ada kepada Lim Kit Siang sehingga veteran DAP itu dibenarkan memasuki Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) tanpa halangan.

Beliau musykil dengan UKM yang membenarkan pemimpin DAP itu hadir ke satu majlis di universiti berkenaan sedangkan dirinya sebagai bekas Perdana Menteri tidak pula dibenarkan mengadakan diskusi bersama pelajar.

“Kita kesal sebab Kit Siang boleh masuk UKM, apa kelebihan Kit Siang berbanding dengan saya? Apa jasa Kit Siang kepada UKM?

“Apa jasa Tun Razak kepada UKM? Apa jasa saya kepada kamu semua. Takkan Kit Siang lebih baik daripada saya. Tak kan Hishamuddin Rais (pun) dapat layanan lebih daripada saya,” katanya di perkarangan Masjid Universiti UKM hari ini.

Untuk rekod, Kit Siang pernah hadir ke UKM pada 11 Disember tahun lalu dalam satu diskusi bertajuk “Mahu Ke Mana Malaysia, Mengenang 50 Tahun Debat Kebudayaan DAP-Gerakan 1986 yang diadakan di Sudut Pidato UKM.
MGF22022019_NAJIB SOLAT JUMAAT UKM12
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bercakap dengan 
sebahagian mahasiswa semasa mengadakan perhimpunan aman 
berikutan penangguhan Program Sembang Santai Bersama Bossku
selepas menunaikan solat Jumaat di luar Masjid Universiti 
Kebangsaan Malaysia, Bangi, Selangor. foto HAZROL ZAINAL,
Najib akhirnya muncul di Masjid UKM hari ini setelah program ‘Sembang Santai Bossku’ anjuran Persatuan Mahasiswa UKM (PMUKM) setelah ditunda ke satu tarikh yang belum dipastikan.
Dalam erti kata lain, program itu dibatalkan di saat-saat akhir, dakwanya.

Ahli Parlimen Pekan itu dikerumuni ratusan pelajar dan rakyat sekitar Bangi setelah beliau selesai menunaikan solat Jumaat.

Dalam pada itu, Najib turut mempersoalkan mengapa kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak membenarkan beliau bertemu pelajar UKM.

“Kenapa takut sangat kepada saya? Takut sangat kepada Bossku. Saya nak berkawan dan beri pandangan sahaja kepada pelajar dan mahasiswa sahaja,” katanya lagi. -MalaysiaGazette

No comments: