ISMA WEB
SHAH ALAM
– Seorang doktor bahagian kecemasan di sebuah hospital swasta
memberitahu mahkamah hari ini Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim
mengalami lebam-lebam pada bahagian atas kanan dinding dadanya, selain
patah empat tulang rusuk.
Dr M
Nantha Kumeran, 39, yang bertugas di jabatan kecemasan Pusat Rawatan
Subang Jaya (SJMC) sejak 2013, berkata laporan X-ray ke atas anggota
bomba itu menunjukkan patah pada tulang rusuk kedua, ketiga, keempat dan
kelima (di sebelah kanan).
“Terdapat
juga lebam-lebam pada bahagian atas kanan dinding dada dan apabila saya
sentuh bahagian itu, (saya dapat dengar) bunyi retak dan kelihatannya ke
arah pneumotoraks (paru-paru kempis).”
Beliau
berkata demikian ketika disoal Timbalan Pendakwa Raya Zhafran Rahim
Hamzah, yang juga pegawai pengendali inkues kematian Muhammad Adib.
Doktor
berkenaan yang berkhidmat sejak 10 tahun lepas, berkata beliau mula
memeriksa Muhammad Adib di dalam bilik pemulihan kecemasan SJMC pada
awal pagi 27 November lepas.
Zhafran: “Bagaimanakah pemerhatian kamu?”
Dr Nantha
Kumeran: “Dia (Adib) mengalami kesukaran untuk bernafas, dalam keadaan
tidak sedarkan diri dan membuat bunyi yang tidak dapat difahami. Saya
memeriksa (kadar denyutan) nadinya, ia kira-kira 145 denyutan seminit,
tekanan darahnya adalah 85/46… tahap maksimum oksigen sekitar 48
peratus.”
Zhafran: “Apa lagi?”
Dr Nantha Kumeran: “Tiada baju, kasut atau sarung kaki. Dia (Adib) memakai seluar (seragam) Bomba.”
Doktor itu
berkata beliau tidak boleh berkomunikasi dengan Muhammad Adib ketika
itu kerana anggota Bomba berkenaan hanya membuat bunyi yang tidak dapat
difahami manakala dan tahap kesedarannya pula rendah.
Dr Nantha
Kumeran berkata, beliau kemudian mengarahkan supaya dibuat pemeriksaan
X-ray, yang dilakukan pada 1.35 pagi, 27 November di dalam bilik
pemulihan itu.
Mengenai laporan X-ray, doktor itu berkata beliau dapat melihat dengan jelas bahawa Muhammad Adib mengalami kontusi paru-paru.
“(Saya
dapat lihat) tulang rusuk yang patah (dalam X-ray) tetapi lebih banyak
kontusi atau lebam (paru-paru). Kecederaan paru-paru adalah lebih
daripada tulang rusuk. Kontusi paru-paru adalah kecederaan pada
paru-paru,” katanya.
Zhafran: “Apakah penyebab kontusi paru-paru?”
Dr Nantha Kumeran: “Trauma tumpul boleh mengakibatkan kecederaan paru-paru.”
Doktor itu
berkata laporan X-ray menunjukkan terdapat tompokan putih di seluruh
paru-paru Muhammad Adib, yang bermakna kecederaan paru-paru atau kontusi
paru-pasu.
Beliau
berkata sebelum pemeriksaan X-ray, intubasi iaitu proses memasukkan tiub
menerusi mulut dan kemudian terus ke tenggorok, dilakukan ke atas
Muhammad Adib.
Katanya
selepas merawat Muhammad Adib selama sejam, beliau berjumpa tiga lelaki
India yang membawa Muhammad Adib ke SJMC untuk bertanya apa yang berlaku
kepadanya.
Ketiga-tiga mereka menyatakan Muhammad Adib mungkin terjatuh daripada jentera Bomba atau mungkin telah dipukul, katanya.
Muhammad
Adib, yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan dari Balai
Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, cedera parah dalam rusuhan ketika
kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27
November tahun lalu.
Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember lalu di Institut Jantung Negara.
Inkues di hadapan Koroner Rofiah Mohamad bersambung Isnin. – Bernama
No comments:
Post a Comment