Friday, June 1, 2018

Pakar cerita ‘harga’ Internet lagi laju, lagi murah

 
Persaingan antara penyedia internet diperlukan dan persoalan timbul sama ada subsidi kerajaan perlu untuk menggandakan kelajuan internet dengan separuh harga.


Kerajaan berjanji akan menggandakan kelajuan Internet dengan separuh harganya. (Gambar Bernama)


PETALING JAYA: Seorang pakar komputer mempersoalkan sama ada syarikat internet sedia mengurangkan margin keuntungan untuk menjadikan janji kerajaan menggandakan kelajuan internet dengan separuh harga suatu kenyataan.

CF Fong, seorang pakar keselamatan siber, mempersoalkan jika kerajaan bersedia mensubsidikan kos menunaikan janji itu.

Fong berkata penyedia perkhidmatan internet (ISP) perlu berkompromi dalam beberapa perkara.
“Jika pelanggan kini terima kelajuan 50Mbps, pada harga RM25 sebulan, jadi tawaran 100Mbps pada harga yang sama seperti menggandakan jalur lebar untuknya.”

Namun menggandakan kelajuan internet tidak mungkin berlaku dengan cepat. Perkakasan, perisian dan prasarana mesti dinaiktaraf. Beliau berharap ISP akan lebih berdaya saing dan menawarkan pakej yang lebih baik.

Fong berkata rakyat “membayar harga yang mahal” untuk kelajuan internet yang masih salah satu yang paling perlahan di rantau ini. Internet di Thailand dan Vietnam adalah lebih laju dan murah.

ISP utama Malaysia ialah Telekom Malaysia, yang menawarkan perkhidmatan ADSL Streamyx pada harga RM110-RM160 sebulan untuk kelajuan 1Mbps-8Mbps dan perkhidmatan jalur lebar fiber optik Unifi pada harga RM129 untuk kelajuan 10Mbps dan RM179 untuk 30Mbps.

Fong mempersoalkan ketiadaan pasaran terbuka kerana persaingan akan memberi manfaat kepada pelanggan. “Bilangan ISP terhad berbanding dengan mereka. Ini kerana berapa banyak lesen yang dikeluarkan pihak berkuasa sebelum ini. Jika lebih banyak ISP menyertai persaingan ini, pengguna akan mempunyai lebih banyak pilihan pada nilai yang lebih berbaloi,” katanya.

Fong berkata ISP akan masih menjana wang walaupun keuntungan berkurangan, tetapi bukan mudah untuk memaksa mereka menurunkan harga.

“Sebenarnya ia tentang ‘memaksa’ mereka menawarkan diskaun; perkara utama ialah menggalakkan lebih banyak ISP menyertai pasaran. Suruhanjaya Komunikasi dan Multmedia perlu ambil inisiatif ini dan keluarkan ISP sedia ada daripada zon selesa,” katanya.

Sebagai penyelesaian jangka masa pendek, ISP perlu memberikan diskaun dan lebih nilai manakala untuk jangka masa panjang, galakkan persaingan dengan syarikat asing. “Tanpa persaingan, pengguna sentiasa kerugian,” katanya.

Minggu lepas, Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo akan berusaha ke arah mencapai jalur lebar dengan kelajuan berganda dan separuh harga kerana orang ramai mengadu tentang kualiti perkhidmatan jalur lebar, yang menurutnya tidak sebaik negara-negara membangun.

No comments: