Roketkini.com
Ahli Parlimen Ipoh Timur Wong Kah Woh berkata bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak telah ‘terkhilaf’ menerima hadiah selama bertahun-tahun sebagai ketua kerajaan kerana ia bukan sahaja salah di sisi undang-undang tetapi penganiayaan terhadap amanah rakyat.
“Biarlah kita mengingatkan Najib Razak bahawa menurut Seksyen 3 Akta SPRM 2009, maksud ‘suapan’ merangkumi ‘wang, derma, pinjaman, hadiah dan harta’.
“Pengakuan penerimaan ‘hadiah’ ini oleh Najib Razak sendiri ini adalah mencukupi untuk beliau dibawa ke ambang keadilan untuk dibicarakan,” katanya dalam kenyataan.
Beliau membangkitkan persoalan bagaimana Najib dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor mampu menerima dan mengumpul ‘hadiah’ yang dianggarkan bernilai antara RM686 juta sehingga nilai RM1.1 bilion.
Soalnya, bukankah hadiah-hadiah tersebut diterima kerana kedudukan Najib selaku pimpinan utama negara selama 36 tahun bermula ketika menjawat jawatan Menteri Besar dari tahun 1982 sehingga jawatan Perdana Menteri yang berakhir pada 2018.
“Sekiranya kita membahagikan nilai minima sebanyak RM686 juta tersebut dengan tahun perkhidmatan beliau, secara puratanya setiap tahun Najib akan menerima ‘hadiah’ bernilai RM19 juta atau bersamaan dengan RM1.6 juta koleksi setiap bulan!” katanya yang juga seorang peguam.
Beliau menambah, kenyataan Najib kononnya ‘hadiah mewah’ bernilai sekurang-kurangnya RM686 juta tersebut untuk dipamerkan suatu hari nanti adalah tindakan yang dilihat cuba memperbodohkan rakyat.
“Kenyataan sebegini adalah langsung tidak masuk akal,” katanya.
Katanya, jika tidak berlaku perubahan kerajaan 9 Mei lalu, pameran yang disebut-sebut Najib tersebut akan terus kekal sebagai ‘koleksi peribadi Rosmah Mansor’ dan tidak akan didedahkan kepada rakyat Malaysia. – Roketkini.com
No comments:
Post a Comment