Saturday, June 2, 2018

Jumlah pelajar ke institusi kemahiran turun 30%, kata menteri

THE MALAYSIAN INSIGHT
Jumlah pelajar ke institusi kemahiran turun 30%, kata menteri
Penurunan bilangan pelajar ke institut kemahiran membimbangkan kerana jika berterusan boleh merencatkan hasrat kerajaan menjadikan Malaysia sebagai negara berkemahiran tinggi. – Gambar fail The Malaysian Insight
 
PENURUNAN 30% kemasukan pelajar ke pelbagai institusi kemahiran dalam tempoh dua tahun lepas dikhuatiri bakal mengakibatkan berlaku lambakan tenaga kerja berpendapatan rendah pada masa depan.

Menteri Tenaga Manusia M. Kulasegaran berkata perkara itu amat membimbangkan kerana jika berterusan ia boleh merencatkan hasrat kerajaan menjadikan Malaysia sebagai negara berkemahiran tinggi.

Beliau berkata walaupun negara mempunyai banyak kolej yang mengajar Latihan Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET), namun kekangan kewangan dipercayai antara punca penurunan jumlah kemasukan pelajar ke institusi terlibat.

“Penurunan kemasukan pelajar itu perlu diteliti dan saya akan bangkitkan isu ini pada mesyuarat Kabinet kelak kerana kita mahu menghasilkan pekerja berkemahiran tinggi seterusnya
mengupayakan mereka,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Pertubuhan Tamil Malaysia di Shah Alam, hari ini.

Dalam pada itu, pihaknya sedang mengkaji semula dasar gaji minimum yang diguna pakai sekarang untuk mengutamakan hak rakyat Malaysia dalam sektor pekerjaan dan perinciannya akan diumumkan Isnin ini.

Mengenai program hari ini, Kulasegaran yang juga ahli Parlimen Ipoh Barat itu berkata kerajaan akan terus memperkasa masyarakat India termasuk mentransformasi sektor pekerjaan melibatkan kaum itu ke arah lebih baik.

“Saya diarahkan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad supaya merangka pelbagai program untuk meningkatkan kemahiran kaum India dan semua bangsa di negara ini pada masa depan.

“Dalam manifesto Pakatan Harapan ada segmen khusus untuk pembangunan kaum India meliputi pelbagai aspek akan kita usaha kotakan, malah Pelan Pembangunan Masyarakat India yang dirancang kerajaan sebelum ini akan diteliti, jika ada manfaatnya kepada kaum sasar kita akan laksanakan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru pelbagai pertubuhan dan organisasi kaum India supaya tampil  menggembleng tenaga untuk memartabatkannya agar selaras dengan arus pemodenan. – Bernama

No comments: